SPRM, JAPEN TEROKA KERJASAMA STRATEGIK SEBAR LUAS MESEJ INTEGRITI DAN ANTIRASUAH*

Putrajaya, 9 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) komited memperkukuhkan kerjasama strategik dalam sektor komunikasi khususnya memperkasa agenda antirasuah negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato’ Azmi Kamaruzaman berkata, kerjasama rentas agensi amat diperlukan bagi menyelaras naratif komunikasi supaya masyarakat menerima maklumat tepat serta tidak dipengaruhi persepsi yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap institusi kerajaan.

Beliau berkata, peranan JAPEN sebagai ‘jentera komunikasi’ amat signifikan bagi meluaskan jangkauan program pembudayaan integriti SPRM, termasuk menyebarluaskan naratif antirasuah agar mendapat impak sosial yang dapat memanfaatkan masyarakat secara menyeluruh.

Beliau berkata, antara kerjasama yang boleh diterokai bersama termasuk melaksanakan mekanisme baharu dalam inisiatif advokasi SPRM dengan strategi komunikasi bersasar dan intervensi berkesan di lapangan.

β€œApa yang lebih penting ialah rakyat menerima penjelasan berdasarkan fakta dan undang-undang, bukannya dipengaruhi persepsi.

β€œSelain itu, SPRM misalnya boleh terlibat dalam program lapangan anjuran JAPEN dan hebahan Khidmat Pesanan Awam (PSA) berkaitan pembudayaan integriti menerusi platform komunikasi rasmi JAPEN di seluruh negara.

β€œInisiatif ini adalah selaras usaha SPRM untuk melonjakkan kedudukan Malaysia ke tangga ke-25 terbaik dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2030,” katanya pada sesi Kunjungan Hormat SPRM kepada Ketua Pengarah JAPEN, Erwin Khairul Ahmad di Ibu Pejabat JAPEN, Menara Komunikasi di sini, hari ini.

Kunjungan hormat SPRM ini adalah kali pertama diadakan sempena lantikan Erwin Khairul sebagai Ketua Pengarah JAPEN yang baharu pada 22 Jun lalu.

Antara cadangan lain yang turut dibincangkan oleh kedua-dua pihak termasuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dan penubuhan kumpulan kerja antara SPRM serta JAPEN bagi tujuan penyelarasan tindakan selain meneroka penggunaan platform digital dan bahan komunikasi yang lebih interaktif.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, KPKPj Hisyam Mohd Yusoff berkata, BKS mengalu-alukan kerjasama dan kepakaran JAPEN bagi tujuan mendapatkan pengiktirafan ISO atau Malaysian Standard (MS) khusus bagi pengurusan krisis komunikasi berkesan yang juga sebahagian daripada Pelan Strategik SPRM 2026-2030.

β€œSPRM lazimnya berhadapan dengan krisis komunikasi kesan daripada persepsi yang timbul dan pengurusan krisis yang lebih strategik serta standard diperlukan. Aspirasi pewujudan pelan strategik ini dapat dijadikan panduan bukan sahaja kepada SPRM malah turut boleh digunakan oleh semua agensi termasuk pihak swasta,” katanya.

Dalam pada itu, Erwin Khairul menyatakan komitmen untuk memperkasa kerjasama strategik antara kedua-dua agensi di samping menyambut baik cadangan SPRM bagi penubuhan kumpulan kerja khas SPRM-JAPEN sekali gus mempertimbangkan penempatan pegawai kader JAPEN untuk berkhidmat di SPRM bagi tempoh yang munasabah.

β€œJAPEN juga bersedia membantu menyebarluaskan mesej pencegahan rasuah daripada SPRM menerusi pelbagai platform media dan meneruskan kerjasama dalam membantu menangani penyebaran kandungan berunsur negatif dalam platform digital.

β€œBerkaitan penempatan pegawai kader JAPEN, kami juga akan mempertimbangkan pada masa akan datang bagi menghantar pegawai yang berpotensi untuk berkhidmat lebih lama di SPRM,” katanya.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) JAPEN, Rubaayah Osman; Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) JAPEN, Wan Saidatul Shafina Mohd Amin; Pengarah-pengarah Bahagian JAPEN dan pegawai-pegawai kanan SPRM.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *