
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan sekitar jam 3.30 petang hingga 5.00 petang oleh sepasukan anggota bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0.
Beliau berkata, dalam kes pertama, sebuah vesel pukat jerut bilis dikesan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 0.37 batu nautika tenggara Kampung Jaya Baru, Kunak.
βHasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut sedang menangkap ikan dalam kawasan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat. Turut ditahan seorang tekong warga tempatan berusia 25 tahun bersama dua kru warga asing berusia 43 dan 57 tahun.
HASIL TANGKAPAN
βPemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut membawa hasil tangkapan ikan bilis lebih kurang tiga kilogram. Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM115,000,β katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam operasi berasingan, anggota bot ronda Maritim Malaysia turut mengesan sebuah pam bot mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.23 batu nautika timur Kampung Jaya Baru, Kunak.
Menurut beliau, ketika pasukan operasi menghampiri sasaran, seorang individu yang dipercayai tekong bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke arah daratan berhampiran.
βHasil pemeriksaan ke atas pam bot tersebut menemukan lebih kurang tiga kilogram ikan campur-campur yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan. Bot yang digunakan turut dirampas untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan sekitar RM7,000,β katanya.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana disyaki melakukan aktiviti penangkapan ikan yang menyalahi undang-undang.
Kesemua bot, kru yang ditahan dan barang rampasan telah dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Maritim Zon Lahad Datu untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di laut kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Lahad Datu menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
