


ππ¨π π¨π§, ππ π π²πΆ β Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) susulan kejadian sebuah bot dipercayai membawa Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia yang dilaporkan tenggelam di perairan Pulau Pangkor awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata bahawa pihaknya telah menerima aduan sekitar jam 5.30 pagi daripada seorang nelayan tempatan yang menemui mangsa terapung di laut dan memohon bantuan segera.
Susulan maklumat diterima, Op Carilamat segera diaktifkan pada jam 6.00 pagi dan KM GAGAH dan BENTENG 1203 telah diatur gerak ke lokasi bagi melakukan usaha pencarian dan dibantu oleh agensi sahabat seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), serta komuniti nelayan tempatan.
Sebuah vesel nelayan tempatan, VNT PKFB 616, telah berjaya menyelamatkan seramai 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan 7 wanita warga Indonesia sebelum kesemua mereka diiringi oleh Bot PPM PAC 16 ke Jeti PPM Kampung Acheh untuk dokumentasi serta siasatan lanjut.
Hasil siasatan awal terhadap mangsa mendapati jumlah keseluruhan PATI yang berada di atas bot tersebut adalah seramai 37 orang. Sehingga kini, seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan manakala baki mangsa masih belum dikenal pasti dan operasi SAR sedang giat diteruskan.
Dalam perkembangan berkaitan, KM GAGAH turut memaklumkan penemuan tiga buah beg yang mengandungi pakaian yang disyaki milik mangsa yang terlibat di lokasi operasi SAR dan akan dibuat pengecaman dari mangsa-mangsa yang telah diselamatkan.
Kesemua mangsa yang diselamatkan dibawa ke Jeti PPM Kampung Acheh sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di IPD Manjung.
Siasatan awal juga mendapati mereka dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei 2026 menuju ke Malaysia dengan beberapa destinasi dipercayai termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.
Operasi SAR ini turut melibatkan aset termasuk KD Sri Indera Sakti, Helikopter Fennec TLDM, dua buah Fast Combat Boat (FCB) TLDM, Pesawat Bombardiar CL 415 (APMM) serta Bot PAC 16 (PPM) bagi melaksanakan tinjauan udara dan pencarian di kawasan insiden. Setakat ini, tiada penemuan baharu dilaporkan.
Kepten Maritim Mohd Shukri bin Khotob turut memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi pencarian sehingga semua mangsa berjaya dikesan.
βMaritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat bersama agensi berkaitan bagi memastikan semua mangsa yang dipercayai terlibat dapat dikesan. Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta menyalurkan sebarang maklumat sekiranya menemui mangsa atau objek mencurigakan di laut,β katanya.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau menemui sebarang petunjuk mengenai mangsa-mangsa yang masih gagal ditemui, diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 8737 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
