

.
𝗕𝗜𝗡𝗧𝗨𝗟𝗨, 𝟮𝟵 𝗔𝗽𝗿𝗶𝗹 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda yang disyaki beroperasi tanpa lesen sah di kedudukan kira-kira 3 batu nautika barat laut Kuala Kemena, pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan dilakukan sekitar pukul 10.30 pagi menerusi OP TIRIS 4.0 dan OP PERMAI 01/2019 hasil rondaan penguatkuasaan di perairan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana beroperasi tanpa lesen perkapalan dalam negeri (DSL) yang sah.
“Jika disabitkan kesalahan, pemilik vesel boleh dikenakan denda sehingga RM5 ribu,” katanya.
Beliau berkata, vesel bersama kru telah ditahan kemudiannya diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Menurutnya, tindakan tegas itu mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim, khususnya dalam mengekang pelanggaran peraturan yang boleh menjejaskan keselamatan perairan negara.
Sehubungan itu, komuniti maritim diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta prosedur keselamatan ketika beroperasi di laut bagi mengelakkan sebarang risiko dan tindakan undang-undang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.
