



4 April 2026 I SABTU, Meru, Perak.
Reruai Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus menjadi tumpuan pengunjung dengan penganjuran aktiviti Jom Exchange Al-Quran bersempena Program MADANI Rakyat (PMR) Perak 2026. Inisiatif murni ini memberi peluang kepada orang ramai untuk menukar al-Quran yang tiada perakuan KDN dan lama atau uzur kepada naskhah baharu yang mempunyai perakuan KDN sekali gus memastikan kesucian serta pemeliharaan kalam Ilahi terus terpelihara.
Program ini bukan sahaja memudahkan masyarakat mendapatkan al-Quran yang lebih berkualiti, malah turut menyemarakkan budaya membaca, memahami dan menghayati isi kandungan Al-Quran dalam kehidupan seharian selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Dalam Negeri serta Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) yang berkesempatan meninjau reruai, beramah mesra bersama pengunjung serta menyampaikan sokongan terhadap usaha memperkukuh nilai keagamaan dan kesejahteraan ummah. Kehadiran kepimpinan tertinggi ini mencerminkan komitmen berterusan KDN dalam mendekati rakyat melalui program yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Sambutan yang amat menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat jelas membuktikan bahawa inisiatif seperti ini terus relevan dan mendapat tempat di hati rakyat.
