
KUCHING, 19 Jan – Syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo, dijangka memperluaskan pengoperasiannya ke Semenanjung Malaysia secara berperingkat mulai tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, laluan tersebut akan dibuka selaras dengan ketersediaan pesawat, keperluan kawal selia, serta kelulusan lembaga pengarah.
“Jika anda ingin keluar dari Sarawak ke Kuala Lumpur atau destinasi lain, anda memerlukan pesawat yang lebih besar. Pesawat bersaiz lebih besar ini akan tiba secara berperingkat pada suku pertama, suku ketiga, dan suku keempat 2026. Sekiranya semuanya berjalan lancar, kita akan memberi keutamaan kepada Sabah, Sarawak, dan Semenanjung, khususnya Kuala Lumpur,” Jelasnya
Beliau mendedahkan bahawa ketika ini, AirBorneo masih beroperasi di laluan sedia ada yang meliputi Sarawak, Sabah, dan Wilayah Persekutuan Labuan di bawah perkhidmatan Rural Air Services (RAS).
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin, di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur Dua, Petra Jaya.
Sementara itu, Megat Ardian berkata, pihak pengurusan kini sedang memuktamadkan perancangan rangkaian dan armada syarikat, yang akan dibentangkan kepada lembaga pengarah secara berperingkat untuk kelulusan.
“Pada asasnya, lembaga pengarah dan pihak pengurusan komited untuk pertama, berkhidmat kepada masyarakat. Kedua, memperkukuh hubungan serantau. Ketiga, membina syarikat penerbangan yang kukuh dan memajukan kelestarian. Semua perkara yang kami lakukan sentiasa berpusat kepada Sarawak,” katanya.
Wartawan/Foto: DEBBIE AMANDA
