𝐏𝐄𝐑𝐊𝐇𝐈𝐃𝐌𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐀𝐖𝐀𝐌 𝐃𝐈𝐆𝐄𝐒𝐀 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐂𝐄𝐏𝐀𝐓 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐊𝐒𝐀𝐍𝐀𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐌𝐏𝐄𝐑𝐇𝐄𝐁𝐀𝐓 𝐑𝐄𝐅𝐎𝐑𝐌𝐀𝐒𝐈 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐌𝐄𝐍𝐂𝐀𝐏𝐀𝐈 𝐇𝐀𝐒𝐈𝐋 𝐁𝐄𝐑𝐈𝐌𝐏𝐀𝐊 𝐓𝐈𝐍𝐆𝐆𝐈

PUTRAJAYA, 15 Januari 2026 – Perkhidmatan awam negara digesa untuk meningkatkan kepantasan pelaksanaan dasar serta memperhebat agenda reformasi pentadbiran dengan lebih berkesan. Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar berkata dalam amanat beliau, melangkah ke tahun 2026, kita menetapkan tahun ini sebagai 𝘠𝘦𝘢𝘳 𝘰𝘧 𝘍𝘢𝘴𝘵 𝘌𝘹𝘦𝘤𝘶𝘵𝘪𝘰𝘯, 𝘐𝘮𝘱𝘢𝘤𝘵𝘧𝘶𝘭 𝘙𝘦𝘴𝘶𝘭𝘵𝘴, iaitu tahun yang menuntut kepantasan pelaksanaan diterjemahkan kepada hasil yang nyata serta dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.

Bagi sektor pembangunan, sehingga 22 Disember 2025, sebanyak 9,578 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan prestasi perbelanjaan nasional mencecah 98.33 peratus. Walau bagaimanapun, Ketua Setiausaha Negara menegaskan agar pencapaian pelaksanaan asas kementerian yang masih berada di bawah purata nasional diberi perhatian serius dan akan dinilai melalui mekanisme Demerit Performance Evaluation (DEEP).

Sejajar dengan pelaksanaan inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), Anugerah ARPA akan diperkenalkan sebagai pengiktirafan kepada kementerian, agensi serta pegawai awam yang berjaya melaksanakan inisiatif reformasi secara berkesan dan berimpak tinggi

Dalam memperkukuh reformasi perkhidmatan awam, empat Misi Pelaksanaan Pantas 2026 telah digariskan, iaitu mempercepat strategi perancangan dan pelaksanaan, mempermudah urusan rakyat, memperhebat Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam serta memperkasakan pelaksanaan komunikasi secara menyeluruh.

Beliau turut mengumumkan penambahbaikan dasar cuti belajar penjawat awam yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, termasuk pengurangan tempoh perkhidmatan minimum, peluasan kemudahan cuti belajar serta penetapan nilai ganti rugi yang lebih munasabah dan adil, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan modal insan sektor awam.

Dalam aspek tadbir urus dan integriti, beliau turut menegaskan bahawa nilai integriti, amanah dan akauntabiliti mesti terus diperkasakan bagi memelihara kredibiliti perkhidmatan awam serta kepercayaan rakyat. Mengakhiri amanat, beliau menekankan bahawa tiada ruang untuk penangguhan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan, sebaliknya setiap perancangan mesti disusuli tindakan yang jelas, pemantauan berdisiplin serta penyempurnaan yang konsisten.

Foto oleh: Muhammad Faiz bin Norzani (Pejabat TKSUK), Nurshahnaz Fazlie bin Shahrizal dan Nurul Intan Syafina binti Mohamad (UKK JPM)

JabatanPerdanaMenteri

MalaysiaMADANI

MADANIBekerja

RancakkanMADANI

AmanatKSN2026

Shamsul Azri bin Abu Bakar
PMO Malaysia

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *