𝐀𝐆𝐈𝐇𝐀𝐍 𝐁𝐀𝐏 𝐃𝐈𝐉𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀 𝐒𝐄𝐋𝐄𝐒𝐀𝐈 𝐒𝐄𝐋𝐄𝐖𝐀𝐓-𝐋𝐄𝐖𝐀𝐓𝐍𝐘𝐀 𝐇𝐔𝐉𝐔𝐍𝐆 𝐌𝐈𝐍𝐆𝐆𝐔 𝐈𝐍𝐈 – 𝐓𝐊𝐏 𝐏𝐄𝐍𝐃𝐈𝐃𝐈𝐊𝐀𝐍

11 Jan 2026

Terengganu : Penyaluran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kepada semua murid di seluruh negara dijangka dapat diselesaikan selewat-lewatnya pada hujung minggu ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Zainal Abas.

Beliau berkata peruntukan berkenaan telah berada pada peringkat sekolah dan hanya menunggu proses pengagihan kepada penerima.

“Bagi peringkat kementerian, kita telah salurkan kepada pihak bank untuk dimasukkan ke dalam akaun sekolah. Pada hari ini atau esok, pihak sekolah boleh mengedarkan bantuan awal persekolahan.

“Edaran itu bergantung pada pengaturan pihak sekolah dengan ibu bapa … (yang menetapkan tarikh) untuk datang menerima peruntukan tersebut. Paling lewat kita harapkan hujung minggu ini sudah selesai (agihan BAP),” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Gong Tok Nasek hari ini.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM800 juta bagi menyediakan BAP sebanyak RM150 kepada semua pelajar tahun satu hingga tingkatan enam tahun ini.

BAP ialah bantuan tunai secara sekali bayar yang diberikan kepada 5.2 juta murid bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan keperluan persekolahan.

📸 Khairul Fikiri | BERNAMA

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *