
5 Jan 2026
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius sebarang penyalahgunaan AI bagi menghasilkan atau menyebarkan kandungan lucah, tidak senonoh, jelik melampau serta manipulasi imej khususnya yang melibatkan wanita dan kanak-kanak kerana ia mengancam keselamatan, maruah dan kesejahteraan rakyat.
Menerusi Polis Diraja Malaysia, KDN melaksanakan siasatan dan penguatkuasaan tegas terhadap kes-kes berkaitan jenayah digital dan kandungan memudaratkan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
PDRM akan terus:
- Menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat;
- Melindungi mangsa, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan; dan
- Membanteras jenayah siber yang menjejaskan keselamatan awam
KDN menyeru seluruh masyarakat agar tidak menyebarkan kandungan memudaratkan dan segera melaporkan sebarang pelanggaran kepada PDRM atau melalui saluran aduan rasmi yang disediakan.
Keselamatan digital adalah sebahagian daripada keselamatan negara. KDN komited melindungi rakyat daripada ancaman jenayah siber.
