Kerjasama GRS, PH mampu wujudkan kestabilan Sabah – Amirudin

Oleh Helmi Mohd Foud
(Sorotan PRN Sabah ke 17)

25 November 2025

Kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) ditampilkan dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 menjadi satu bentuk kesepaduan politik yang mampu mewujudkan kestabilan di negeri itu.

Naib Presiden KEADILAN Datuk Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dapat terjemahkan dalam aktiviti membantu calon PH kerusi Petagas, Awang Husaini Sahari pada program ceramah kelompok di Kampung Duvanson semalam.

“Ramai rakan-rakan GRS turut hadir memberikan sokongan.

“Inilah satu bentuk kesepaduan politik yang harus dipertahankan demi kestabilan Sabah,” kata Amirudin dalam hantaran di Facebooknya.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata semangat di Petagas begitu jelas apabila PH bertanding di kawasan itu bukan sekadar berkongsi visi, tetapi untuk memastikan suara rakyat Sabah diberi tempat, diberi pembelaan dan diberi kuasa.

“Ayuh Urang Petagas, kita menangkan Awang Husaini dan pastikan Petagas berpihak kepada HARAPAN!” seru beliau penuh keyakinan.

Terdahulu dalam rangka kunjungannya ke Sabah sebelum pulang ke Selangor pagi tadi, Amirudin membantu aktiviti kempen calon PH kerusi Tulid, Datin Rufinah Pengeran di Keningau.

Kata beliau Ketua Wanita KEADILAN Sabah itu merupakan seorang pemimpin wanita berwibawa, berpengalaman dan komited memperjuangkan pembangunan luar bandar serta kebajikan komuniti.

“Dengan sokongan kuat Kerajaan Persekutuan dan PH di Sabah, kita yakin pelbagai isu setempat dapat diselesaikan dengan lebih berkesan, daripada infrastruktur asas, peningkatan ekonomi rakyat hingga penyelesaian masalah berlarutan yang membebankan masyarakat.

“Undi calon No 4, Datin Rufinah yang membawakan naratif pembangunan yang lebih stabil, inklusif dan berpihak kepada rakyat Tulid,” ujar beliau

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *