






Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
10 OGOS 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Peringkat Antarabangsa Kali Ke-65 yang melabuhkan tirai pada malam tadi dengan penuh rahmat dan keberkatan.
“Malam ini amat istimewa dan dekat di hati saya tatkala majlis ini turut meraikan kehadiran Imam dan Khatib Masjid Nabawi Fadhilatus Syeikh Dr. Solah al-Budair sebagai Tetamu Istimewa,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Beliau mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada kesemua 71 peserta tilawah dan 32 peserta hafazan yang mewakili 49 buah negara, terutama sekali kepada semua pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
BANGGA DENGAN PENCAPAIAN
“Sebagai anak Malaysia, saya amat bersyukur dan bangga dengan pencapaian peserta Malaysia pada Musabaqah edisi tahun ini,” jelas beliau.
Beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan (Johan Kategori Tilawah Lelaki), Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi (Johan Kategori Tilawah Wanita) dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif (Naib Johan Kategori Hafazan Wanita).
“Saya berdoa kehadrat Allah SWT agar risalah al-Quran terus memayungi kita semua dengan hidayah dan petunjuk kebenaran, asbab setiap jiwa terus menekuni dan mentadabbur al-Quran dengan mendalam dan penuh keinsafan. Mendoakan agar kita digolongkan dalam kalangan hamba-hamba Nya yang bertaqwa,” tambah beliau. – JM
