



19 MAC 2025
Bazar Ramadan Wangsa Maju menjadi lokasi pertama Kempen Keselamatan Dalam Talian anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan hadir semasa pelancaran kempen ini.
“Kempen ini akan dilaksanakan beberapa bazar Ramadan sekitar Lembah Klang di sepanjang bulan puasa ini,” kata MCMC pada hantaran di FB.
Tambah MCMC, kempen ini bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan Internet.
PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL
“Kempen ini menekankan kepentingan melindungi kanak-kanak bawah 13 tahun daripada penggunaan media sosial seperti TikTok, selain mempromosikan penggunaan AIFA (Artificial Intelligence Fact-check Assistant) untuk membantu orang ramai menyemak kesahihan berita dalam talian,” katanya.
MCMC turut menyampaikan maklumat penting kepada pengunjung mengenai cara mengelak daripada terjerat dalam penipuan dalam talian serta langkah-langkah memastikan keselamatan anak-anak ketika melayari Internet.
MCMC mengajak orang ramai untuk mendapatkan maklumat berguna tentang keselamatan digital dengan menyertai sesi advokasi di bazar Ramadan yang terpilih sepanjang bulan ini. – JM