Malaysia kutuk sekeras-kerasnya Israel ceroboh undang-undang antarabangsa

Oleh: Sholina Osman
19 MAC 2025

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara dan bedilan artileri Israel ke atas Gaza pada hari ini (18 Mac 2025) yang secara sepihak menamatkan perjanjian gencatan senjata.

Kenyataan media Wisma Putra memaklumkan bahawa serangan ini telah meragut lebih 300 nyawa di wilayah Palestin.

“Gelombang serangan terbaru oleh rejim Zionis Israel ini turut menyasarkan Syria, Lubnan, dan Yaman, mengakibatkan lebih banyak kematian dan kecederaan termasuk kanak-kanak serta petugas kemanusiaan,” kata kenyataan itu lagi.

TINDAKAN AGRESIF ISRAEL

Tindakan agresif Israel ini jelas membuktikan bahawa rejim tersebut tidak mempunyai sebarang hasrat untuk berdamai dengan negara-negara jirannya.

Sebaliknya, Israel terus mencabuli undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta usaha damai yang sedang dijalankan.

Pembunuhan berterusan terhadap orang awam, termasuk kanak-kanak, wanita, dan petugas kemanusiaan, merupakan jenayah perang, genosida, serta pembersihan etnik.

NEGARA-NEGARA BERDAULAT

Serangan Israel ke atas negara-negara berdaulat juga menjadi ancaman serius terhadap keamanan dan kestabilan global.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB untuk melindungi orang awam serta menamatkan kekebalan Israel daripada tindakan undang-undang dengan memastikan rejim tersebut dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *