Oleh: Sholina Osman
22 FEB. 2025
Jemaah Menteri telah memutuskan agar Rang Undang-Undang (RUU)
Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 akan dibentang dan dibahas untuk diluluskan pada sidang Parlimen kali ini.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil berkata, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 merupakan langkah pertama dalam usaha mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara, iaitu Parlimen.
“RUU tersebut bakal mewujudkan sebuah Majlis Parlimen yang akan dipengerusikan secara bersama oleh Yang di-Pertua Dewan Negara dan
Yang di-Pertua Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Fahmi berkata, RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 pula akan dibawa bagi membolehkan Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat menganggotai Majlis Parlimen tersebut.
MEMBUAT BACAAN PERTAMA
“Jemaah Menteri turut memutuskan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan
membuat bacaan pertama dan memperincikan kedua-dua RUU berkenaan di Dewan Rakyat pada Isnin, 24 Februari 2025,” katanya.
Beliau berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju dan mencadangkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat bacaan kali kedua yang dijangka pada 4 Mac 2025.
“Langkah ini adalah bukti iltizam Kerajaan MADANI terhadap usaha melaksanakannagenda reformasi serta memperkukuh institusi-institusi demokrasi dalam negara,” jelasnya. – JM