Penyalahgunaan dadah di Malaysia membimbangkan apabila naik 32.5% 2024 – Saifuddin

Oleh: Sholina Osman
15 FEB. 2025

Isu penyalahgunaan dadah di Malaysia semakin membimbangkan apabila kes meningkat sebanyak 32.5 peratus pada tahun 2024, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, lebih merisaukan apabila 61 peratus daripada jumlah penagih itu melibatkan golongan muda yang berusia dari 15 hingga 39 tahun.

Beliau berkata, pencegahan dadah bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata.

“Ia adalah tugas kita semua! Ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), sektor swasta – semua pihak harus memainkan peranan dalam usaha menyelamatkan generasi akan datang,” katanya ketika berucap pada Program Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Bersama Masyarakat & Hari Antidadah 2025 di Kulim, Padang Serai, Kedah hari ini.

KALENDAR HARI ANTIDADAH

Saifuddin berkata, Kerajaan juga telah melancarkan Kalendar Hari Antidadah 2025, yang merangkumi pelbagai program pendidikan dan kesedaran sehingga Jun tahun ini.

Tambahnya, Kerajaan juga terus memperkukuh penguatkuasaan sempadan, program pemulihan, dan sokongan komuniti bagi memastikan usaha memerangi dadah lebih berkesan.

“Jangan biarkan dadah merosakkan masa depan anak-anak kita. Laporkan, cegah, dan lindungi komuniti anda!,” katanya.

Sementara itu, sempena program itu beliau turut menyampaikan bantuan peralatan persekolahan kepada 1000 orang pelajar.

Saifuddin berharap semoga dengan sumbangan ini akan menaikkan semangat mereka untuk memulakan persekolahan minggu hadapan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *