








Oleh Noraini Nordin
(Sorotan khas Pemilihan KEADILAN sesi 2025-2028)
Bahang panas pemilihan Parti KEADILAN Rakyat bagi sesi 2025-2028 mula terasa panas khasnya kalangan anggota KEADILAN sama ada yang mahu bertanding sebagai calon baharu kepimpinan atau yang mahu mempertahankan jawatan yang sedang disandang.
Kalangan anggota pula pastinya lebih teruja kerana sekali lagi mereka berpeluang menggunakan `kuasa mengundi’ untuk memilih pemimpin-pemimpin yang dimahukan.
Bagi kepimpinan pusat sayap wanita, yang menjadi perhatian dalam pemilihan kali ini adalah jawatan Ketua Wanita KEADILAN (KWP) yang kini disandang Fadhlina Sidek.
Terkini dua lagi Ketua Wanita KEADILAN Negeri (KWN) telah menyatakan sokongan supaya Fadhlina Sidek terus menerajui jawatan KWP bagi sesi 2025-2028 .
Dua KWN yang menyatakan sokongan terhadap Fadhlina adalah Ketua Wanita KEADILAN Johor, Zuraidah Zainab Mohd Zain (Johor) dan Armila Alias (KWN Terengganu).
Sebelum itu dua KWN iaitu Rozana Zainal Abidin (Selangor) dan Nurhidayah Che Rose (Pulau Pinang) telah menyatakan sokongan padu supaya jawatan KWP terus dipimpin oleh Fadhlina Sidek untuk sesi akan datang.
Mengulas lanjut berkaitan jawatan KWP, Zuraidah Zainab berkata, Fadhlina bukan sahaja ketua yang berintrigriti tetapi juga pembimbing yang baik.
“Dalam organisasi seorang pemimpin berkualiti amat diperlukan untuk memastikan misi dan visi dapat dicapai. Fadhlina memiliki kepimpinan yang mampu melaksanakan amanah tersebut.
“Gaya kepimpinannya amat kami hormati. Beliau mampu membimbing dan mempengaruhi serta merangsang wanita untuk terus melakukan kerja-kerja kebajikan tanpa lelah.
“Bersama Fadhlina kami sentiasa bersemangat dan bermotivasi untuk terus bekerja memperkasakan parti serta berbakti kepada masyarakat tanpa mengira kaum, ‘’ kata Zuraidah Zainab dalam satu kenyataannya hari ini.
Zuraidah Zainab yang juga bekas calon P155 Tenggara Johor berkata, Fadhlina amat memahami denyut nadi wanita akar umbi dan juga pimpinan wanita di peringkat cabang.
“Beliau peka terhadap kebajikan wanita. Jika ada isu berbangkit berkaitan dengan pelbagai hal’, beliau akan segera
turun padang’ untuk menyelesaikan secara bersemuka.
“Beliau tidak membiarkan isu berlarutan kerana tidak mahu sebarang program dan usaha memperkasakan wanita terbantut di kawasan tersebut.
“Fadhlina kerap menyantuni wanita negeri Johor sambil memberi sumbangan kepada yang memerlukan. Kehadiran Fadhlina memayungi kami amat dirasai ‘’ jelas Zuraidah Zainab yang juga Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Negeri Johor.
Selain itu, menurut Zuraidah Zainab lagi, Fadhlina adalah KWP yang wajar dicontohi dan kaya dengan idea-idea baharu yang mampu menaikkan imej Wanita KEADILAN bukan sahaja di negara ini juga di peringkat antarabangsa.
“Sudah sewajarnya jawatan KWP perlu terus diketuai oleh Fadhlina . Saya menyokong padu Fadhlina untuk terus menjadi penerajui kami ,’’ tegas Zuraidah Zainab yang juga Ketua Wanita KEADILAN Cabang Johor Bahru.
Bagi Ketua Wanita Terengganu, Armila Alias , beliau berkata Fadhlina telah memberikan sumbangan besar dalam memperjuangkan hak wanita, pendidikan, dan kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Sebagai Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina telah menjadi suara bagi wanita dan golongan muda di negara ini.
“Beliau membawa perubahan yang lebih inklusif dan adil dalam pelbagai aspek kehidupan, ‘’ jelas beliau.
Menurut Armila, sumbangan Fadhlina dalam politik, dasar pendidikan serta kebajikan masyarakat amat dihargai dan memberi impak positif kepada negara.
“Di Terengganu kami amat menyokong Fadhlina kekal sebagai KWP untuk sesi akan datang. Walaupun sibuk dengan tugas sebagai Menteri Pendidikan , Fadhlina tidak pernah melupakan wanita Terengganu.
“Beliau kerap turut padang untuk menyertai program kami dan memberi sumbangan.
“Semasa Terengganu dilanda banjir Fadhlina menggerakkan pasukan misi banjir Wanita KEADILAN membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini. Beliau juga telah memberi pelbagai barangan yang diperlukan sambil menyantuni mangsa-mangsa banjir. Budi baik Fadhlina kepada kami sentiasa menjadi ingatan,’’ jelas beliau lagi.
Sementara itu, Setiausaha Agong KEADILAN Dr. Fuziah Salleh telah memberi Taklimat Pemilihan Parti dan Kongres Nasional Tahunan di Shah Alam, Selangor petang semalam.
Taklimat tersebut telah dihadiri oleh pimpinan daripada cabang dan juga pimpinan pusat dari seluruh negara.
Untuk rujukan :- pemilihan kepimpinan KEADILAN bagi sesi 2025-2028 yang bakal berlangsung pada 24 Mei ini yang melibatkan jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda KEADILAN Pusat .
Manakala bagi pemilihan untuk jawatan di peringkat Cabang, Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Cabang pula telah ditetapkan pada 11 April 2025 hingga 20 April 2025.