Pelancaran APKS selaraskan operasi di pintu sempadan negara – Fadillah

Oleh: Sholina Osman
2 FEB. 2025

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang baharu dilancarkan akan berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber dari pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi pintu-pintu di seluruh negara, sama ada lapangan terbang, sempadan darat dan pelabuhan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penubuhan AKPS iaitu agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu menandakan komitmen kerajaan Madani yang tidak berbelah bahagi untuk mewujudkan rangka kerja kawalan sempadan yang lancar dan cekap.

“Kita ingin melihat perubahan kepada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan di pintu masuk, proses kerja yang lebih mudah dan ringkas,” katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran AKPS di Anjung Tinjau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

FUNGSI YANG BERTINDIH

Fadillah berkata, karenah birokrasi boleh diminimumkan dengan tiada lagi fungsi-fungsi yang bertindih antara agensi.

“Ini sangat penting agar lapangan terbang dan pintu masuk ke negara kita lebih berdaya saing, memudahkan serta memberikan pengalaman pertama yang mengesankan kepada pelawat yang berkunjung ke negara ini,” katanya.

Jelasnya, penubuhan AKPS ditunjangi oleh lima objektif utama di mana pertamanya untuk menyatukan pelbagai fungsi penguatkuasaan sempadan di bawah satu “chain of command” di mana sebelum ini, pengurusan sempadan di Malaysia melibatkan pelbagai agensi yang melaksanakan pelbagai fungsi seperti urusan perkastaman, imigresen, kuarantin dan banyak lagi yang sering membawa kepada kekeliruan, pertindihan tugas dan halangan komunikasi.

Katanya, dengan menyatukan pelbagai fungsi utama secara bersepadu di bawah tanggungjawab sebuah agensi, Malaysia mampu mewujudkan pendekatan yang terselaras untuk pengawalan sempadan yang efektif.

PINTU MASUK UTAMA

“Kedua, bagi memudahkan aktiviti perdagangan dan perjalanan: Malaysia adalah pintu masuk utama ke rantau ini, dan pintu masuk negara kita memainkan peranan penting dalam memudahkan perdagangan dan pelancongan,” katanya.

Dengan ini kata beliau, ia memudahkan prosedur dan meminimumkan masa menunggu, perkhidmatan yang kita berikan akan meningkatkan pengalaman yang baik untuk pengembara dan perniagaan, sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan kedudukan kita sebagai pemain yang berdaya saing di arena global.

“Ketiga, adalah memperkukuh aspek keselamatan di mana dalam kita mengalu-alukan pelawat dan barangan dari seluruh dunia, kita juga harus berwaspada dalam menjaga negara kita,” katanya.

Tambahnya, AKPS akan melaksanakan teknologi canggih dan amalan perkongsian data untuk memperkukuh rangka kerja keselamatan di setiap inici sempadan negara.

MENGURANGKAN POTENSI ANCAMAN

Fadillah berkata, dengan peningkatan keupayaan untuk mengenal pasti dan mengurangkan potensi ancaman, akan memastikan bahawa sempadan kita kekal selamat dan rakyat kita selamat.

“Keempat, untuk mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan: Komitmen terhadap perkhidmatan yang cemerlang adalah yang terpenting,” katanya.

Tambahnya, AKPS akan mengutamakan latihan dan pembangunan sumber manusia, memastikan mereka serba lengkap, profesional, dan bersedia untuk membantu pelancong dan peniaga, yang mencerminkan Malaysian Hospitality sambil mengekalkan standard keselamatan pada tahap tertinggi.

MELIPUTI DOMAIN UDARA

Manakala Kelima Fadillah berkata, sebagai perlindungan dan keselamatan sempadan negara meliputi domain udara, laut dan darat melalui kolaborasi bersepadu bersama agensi-agensi seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Saya percaya dengan kolaborasi padu ini akan memperkukuh keselamatan dan kedaulatan sempadan negara Malaysia,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *