






Oleh: Sholina Osman
2 FEB. 2025
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menyerikan Karnival Madani Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Komuniti anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau yang diadakan di Kompleks Logistik PDRM Mata Ayer, Arau pada malam semalam.
Keberangkatan tiba Baginda bersama-sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid disambut oleh Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner, Baderulhisham Baharudin dan Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi.
Karnival ini dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keselamatan, membantu golongan memerlukan serta memupuk hubungan baik di antara agensi, masyarakat dan PDRM selari dengan tema ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Baderulhisham dalam ucapan aluannya menyatakan program ini merupakan medium terbaik untuk pihak polis mendekati masyarakat dan mengeratkan hubungan kerjasama di antara PDRM dengan agensi luar, serta penduduk setempat yang turut melibatkan Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
URUSAN PEMBAYARAN SAMAN
“Dalam pada itu, hasrat IPD Arau ini untuk mempermudahkan khususnya rakyat setempat dalam urusan pembayaran saman dan sebagainya melalui Bahagian Trafik Daerah Arau, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang turut serta berganding bahu menjayakan program ini”, tambah beliau lagi.
Karnival ini turut menyediakan kaunter pembayaran saman dengan diskaun saman trafik seluruh Malaysia sebanyak 50 peratus diskaun saman JPJ dengan kadar rata RM150 (50 peratus) serta kaunter bergerak MPK bagi urusan bayaran cukai taksiran, semakan cukai taksiran, bayaran kompaun dan sewa kedai.
Antara aktiviti lain termasuklah persembahan wayang kulit, acara larian ‘Night Fun Run’, gotong-royong memasak melibatkan pelajar dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), komuniti setempat dan juga warga IPD Arau. – JM