LAPORAN KHAS: Podcast Salasilah Negeri Perlis (3 Siri)- Laporan Eksklusif Portal Jendela Madani oleh Wartawan Eksekutif Sholina Osman

Logo Podcast Salasilah Perlis

Siri 1 – Salasilah Perlis: Podcast identiti Perlis penuhi “peti khazanah ilmu” versi digital

Oleh: Sholina Osman
2 FEB. 2025

Podcast Salasilah Perlis, bukan podcast biasa-biasa.

Ia lahir sebagai memenuhi satu-satunya podcast yang sarat dengan pelbagai cabang ilmu mengenai Perlis yang bersandarkan fakta sekaligus menjadi ia sebagai “peti khazanah ilmu” versi digital yang tidak ternilai apabila mampu menjadi bahan rujukan baik dari sejarah pemerintahan Diraja, budaya, bahasa, makanan, geografi untuk rujukan pada masa kini dan juga masa depan.

Sekaligus ia selari dengan taglinenya “Segalanya Perlis”.

Gandingan hos tetap Podcast Salasilah Perlis yang mantap iaitu dari kiri (Dr Hazman) dan Syed Mohd Hilmi
Dr Hazman Hassan
Syed Mohd Hilmi Syed Mohd Nazree Jamalullail
Podcast Salasilah Perlis sudah setahun.

Sempena Setahun Podcast Salasilah Perlis, Wartawan Jendela MADANI membuat wawancara eksklusif dengan Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Dr Hazman Hassan selaku Pakar Rujuk Podcast Salasilah Perlis dan hos yang bergandingan dengan Syed Mohd Hilmi Syed Mohd Nazree Jamalullail pada setiap episod.

ADALAH INISIATIF MAIPs

Beritahu Dr. Hazman, Podcast Salasilah Perlis ini adalah inisiatif MAIPs menerusi Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis serta Amanah Sejarah, Kebudayaan dan Warisan As-Sunnah bersama Suara Sunnah Channel.

Antara tema yang dibicarakan di Podcast Salasilah Perlis sepanjang setahun bersiaran setiap Selasa.
Podcast Salasilah Perlis yang tema berkisar dialek Perlis pada Episod 10 paling banyak tontonan.
Episod masakan Perlis paling lucu apabila tetamu Podcast Salasilah Perlis, Youtuber Ita Khairi yang “melatah” dan set rakaman diganggu seekor kucing.

“Kini setelah mencapai usia setahun Podcast Salasilah Perlis bukan sahaja boleh dilayari di laman Facebook (FB) rasminya malah berkembang kepada empat media sosial iaitu YouTube rasmi Salasilah Perlis, Instagram rasmi Salasilah Perlis, Spotify rasmi Salasilah Perlis dan TikTok rasmi Salasilah Perlis,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebanyak 53 episod Podcast Salasilah Perlis berjaya diterbitkan bermula 2 Januari 2024 yang bertajuk “Ada Apa Dengan Perlis”.

“Ia hanya bersiaran seminggu sekali pada setiap hari Selasa di sepanjang tahun lalu tanpa kecuali,” ujarnya.

Beliau berkata, antara perkara utama yang cuba dimartabatkan di dalam podcast ini di sepanjang pada setiap episod adalah “Pelek Perelih”.

DIALEK MELAYU PERLIS

Jelasnya, segmen tetap ini bertujuan mengangkat kembali dialek Melayu Perlis.

“Menerusi segmen ini, biasanya satu perkataan dialek Melayu Perlis yang seboleh-bolehnya berkaitan dengan tema sesuatu episod itu akan dipilih dan diperjelaskan pengertian dan konteksnya” katanya.

Beliau berkata, tetamu dan hos akan membina semula ayat dengan menggunakan perkataan atau “pelek perelih” itu diikuti dengan terjemahannya ke dalam Bahasa Melayu baku supaya difahami oleh orang dari luar Perlis.

“Jadi inilah peluang orang pelbagai negeri lain mempelajari percakapan “Pelek Perlis” dengan menonton Podcast Salasilah Perlis.

SEPANJANG 53 EPISOD

Hazman berkata, di sepanjang 53 episod Podcast Salasilah Perlis sepanjang tahun 2024, lebih daripada 53 perkataan telah berjaya diketengahkan dalam segmen “Pelek Perelih”.

“Ini kerana setiap episod ini ada menyebut perkataan “Pelek Perelih” di mana contohnya pada Episod 8 Podcast Salasilah Perlis, dua perkataan disebut iaitu “Ghot” yang bermaksud daya tahan dan “Gheka” iaitu daya maju, manakala Episod 9 pula perkataan “Peghembang” pula dipilih iaitu lihat dengan teliti,” jelasnya.

Hazman berharap mudah-mudahan pada tahun 2025 dan seterusnya, segmen “Pelek Perelih” akan dapat terus memartabatkan dialek yang tercinta ini sebagai satu daripada teras jati diri Melayu Perlis yang unggul.

Selain itu, Tahun 2024 menyaksikan sebanyak 53 episod Podcast Salasilah Perlis berjaya diterbitkan iaitu bersiaran seminggu sekali pada setiap hari Selasa di sepanjang tahun tanpa kecuali.

MENURUT TEMA-TEMA

Secara pengkategorian, katanya, 53 episod podcast bagi tahun 2024 dapat disusun menurut tema-tema.

“Sejarah – 17 episod; Budaya – 13 episod; Bio-Kepelbagaian – 6 episod; Sosio-Agama – 6 episod; Bahasa dan Sastera – 6 episod; Undang-undang dan Politik – 5 episod,” katanya.

Di antara 53 episod pada tahun lalu, katanya, episod 10 telah mendapat tontonan tertinggi iaitu 9.5 ribu.

Tarikan pada episod ini kata Dr Hazman apabila berjaya membawa Penyusun Kamus Dialek Perlis yang tidak asing lagi iaitu Sasterawan Wan Nan Wan Mahmud atau nama pena Pawana ke studio bagi membicarakan tema “Lemak Manis Dialek Melayu Perlis”.

BERJAYA MEMIKAT PENONTON

Sekalipun telah berusia 87, PAWANA berjaya memikat penonton apabila membuat perbandingan sebutan dalam subdialek Melayu Perlis di Padang Malau, Abi Padang Melangit dan Paya, dengan sebutan dalam Bahasa Melayu Baku.

Selain itu kata Hazman, Episod 2 juga mendapat 8.6 ribu tontonan yang agak tinggi apabila tetamu Ustaz Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin mengupas tema Misteri Kabilah Jamalullail di Perlis?.

“Episod paling melucukan pula pada Episod ke 22 yang menampilkan Youtuber masakan, Ita Khairi yang merupakan anak kelahiran Kampung Kersik, Mata Ayer, Perlis,” katanya.

Jelas Dr Hazman, selain berkongsi demonstrasi memasak Asam Pedas Ikan Haruan, juga dikongsi keunikan dari segi penggunaan bahan dan juga cara memasak.

YANG MUDAH MELATAH

Ita Khairi yang mudah melatah ini ternyata “terlanjur” juga semasa pengambaran demonstrasi ini menjadikan penonton rasa terhibur.

Sesungguh anak Perlis yang berada di dalam negeri ini atau di luar perlu berbangga dengan adanya podcast beridentiti negeri ini.

Beramai-ramailah memberikan sokongan padu supaya apa yang ada di bumi Perlis akan terus dikupas sebagai khazanah bersejarah pada masa depan secara digital. – JM

Siri 2 – Salasilah Perlis: Detik bersejarah Podcast Salasilah Perlis apabila dilancarkan Raja Muda

Oleh: Sholina Osman
2 FEB. 2025

Tanggal 1 Februari 2024 merupakan satu detik bersejarah bagi Program Bual Bicara Dalam Talian “Podcast Salasilah Perlis” apabila Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkannya di Studio Suara Sunnah di Bandar Diraja Arau, Perlis.

Majlis pelancaran ini yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Pertubuhan Suara Sunnah.

Sekaligus ia memberi satu penghormatan kepada pasukan Podcast Salasilah Perlis untuk terus membicarakan segala berkaitan Perlis supaya ia menjadi “peti khazanah ilmu” digital sebagai rujukan semasa dan juga pada masa depan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan merasmikan Podcast Salasilah Perlis pada 2 Februari 2024 yang kini telah memasuki setahun.
Podcast Salasilah Perlis Episod 1 bermula 2 Januari 2024 bertemakan ‘Apa Ada Dengan Perlis’
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat merasmikan Podcast Salasilah Perlis sambil diperhati Dr Hazman Studio Suara Sunnah di Bandar Diraja Arau, Perlis pada 1 Februari 2024.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengerusi Pertubuhan berkenaan, Syed Abu Bakar Syed Kamal Bahrin Jamalullail.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

MENYAMPAIKAN SUMBANGAN DANA

Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs juga berkenan menyampaikan sumbangan dana Tabung Baraatuz Zimmah (T-Baz) MAIPs berjumlah RM50,200.

Pada kesempatan yang sama Baginda bertitah agar usaha untuk menyebarluaskan kefahaman terhadap sejarah dan jati diri bangsa hendaklah sentiasa diperkukuhkan demi menguatkan kecintaan terhadap negeri dan juga negara.

Episod 53 setelah genap setahun mengupas tema “Anak Raja Perlis Di Persada Dunia: DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan melihat rakaman Podcast Salasilah Perlis semasa di majlis perasmian.

Titah Raja Muda, pendekatan segar melalui pelbagai medium sama ada cetak atau elektronik boleh dilaksanakan bagi menarik minat masyarakat terutamanya golongan muda bagi menghayati pengajaran daripada sejarah dan jatidiri bangsa.

Tambah bersejarah lagi sempena pelancaran ini juga dirakamkan di hadapan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagaimana Baginda dan Pasukan “Member Stadium” yang diriwayatkan oleh Mohd Husnain Abdul Rahim yang menjadi saksi hidup kepada ketokohan Baginda dalam sukan bola sepak.

PAKAR RUJUK TETAP

Rakaman Khas Podcast Salasilah Perlis ini menampilkan pakar rujuk tetap iaitu Dr. Hazman Hassan, Timbalan Yang DiPertua MAIPs dan hos, Syed Mohd Hilmi Syed Mohd Nazree Jamalullail, guru Sejarah di sebuah sekolah di Perlis.

Pada podcast khas ini, Dr Hazman menceritakan Tuanku Syed Faizuddin Putra amat berbakat dan sangat meminati sukan bola sepak.

Paling menarik adalah, pertambahan minat ini adalah seiring dengan percambahan potensi bakat kepimpinan Baginda yang berkenan menubuhkan pasukan “Member Stadium” di zaman remaja.

Sifat berjiwa rakyat yang dimiliki oleh Baginda adalah asli, benar dan bukanlah dibuat-buat.

KHUSUS MEMBICARAKAN TOPIK

Tidak cukup dengan itu, pada Episod Podcast Salasilah Perlis Ke-53,
khusus membicarakan topik “Anak Raja Perlis Di Persada Dunia: DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail” yang dihoskan bersama oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Dr Hazman.

Mohd Nazim membuka cerita bagaimana detik-detik keberangkatan Baginda ke Masjidil Aqsa dan Jordan yang mana telah berjalan dengan sempurnanya apabila berpeluang menziarah ke masjid agung pada bumi di mana Rasulullah telah diisra’kan ke langit.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga menjadi Raja Muda Perlis pertama yang berangkat menziarahi Masjidil Aqsa.

Pada tanggal bersejarah 5 Oktober 2018, baginda berangkat mengunjungi Masjidil Aqsa.

TURUT MENGHARUNGI CABARAN

Seperti mana orang lain, rombongan MAIPs yang diketuai oleh Raja Muda Perlis ini turut mengharungi cabaran disekat, disoal siasat dan didera secara mental oleh pasukan keselamatan Israil selama berjam-jam tanpa alasan yang munasabah.

Di Masjidil Aqsa, rombongan disambut oleh Sheikh Dr. Ekremah Sa’id Sabri, Imam Masjidil Aqsa yang sebelumnya telah diperkenankan mengadap baginda di Perlis.

Turut bersama-sama mengalu-alukan keberangkatan baginda ialah Pengarah Wakaf Al-Quds, Syeikh Azam Al-Khatib; Menteri Hal Ehwal Al-Quds, Ir. Adnan Al-Husaini; Mufti Al-Quds, Syeikh Adnan Ghaith; dan Pengarah Masjid Al-Aqsa, Syeikh Omar Al-Kiswani.

Ternyata rakyat Palestin amat menyanjung tinggi kehadiran rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi seorang putera raja Perlis yang sanggup ‘terbang’ beribu-ribu kilometer jauhnya, untuk menyantuni mereka.

SUMBANGAN WANG KIRIMAN

Bersempena keberangkatan ke Masjidil Aqsa, Raja Muda Perlis ini turut menghantar sumbangan wang kiriman rakyat Negeri Perlis berjumlah RM120,000.00 yang dikumpulkan melalui kutipan tabung masjid-masjid seluruh Perlis selama 3 kali hari jumaat.

Tambah bermakna lagi ialah baginda turut mengurniakan sumbangan khas MAIPs iaitu 30 unit kerusi roda yang dikhususkan bagi kegunaan para jamaah di Masjidil Aqsa.

Sebelumnya MAIPs telah pun menyumbangkan 2 unit kereta “buggy” untuk dimanfaatkan di masjid agung yang sama.

Sementara itu Podcast Salasilah juga mengangkat kisah YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail sebagai menempati kedudukan “Waris Yang Kedua” seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 7 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948.

MERUPAKAN PUTERA TUNGGAL

Baginda merupakan putera tunggal kepada DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, dan juga kepada DYTM Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis.

Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail selamat diputerakan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar pada 12 April 2009.

Syed Sirajuddin Areeb Putra juga merupakan cucunda lelaki tunggal kepada Raja Perlis. – JM

Siri 3 – Podcast Salasilah Perlis mula meraih tontonan tertinggi

Oleh: Sholina Osman
2 FEB. 2025

Kerjakuat pasukan Podcast Salasilah Perlis sehingga mencapai usia setahun demi melahirkan “peti khazanah ilmu” secara digital ini ternyata tidak sia-sia.

Sesungguhnya tidak mudah untuk menjadi antara podcast yang lestari di media sosial.

Bagaimanapun hanya masa dan ketika sahaja yang mampu mengangkat Podcast yang diterajui oleh barisan anak Perlis “gah” di media sosial.

Tontonan Podcast Salasilah Perlis Episod 10 bertemakan ‘Lemak Manis Dialek Melayu Perlis’ mendapat tontonan lebih 100,000 di TikTok
Gandingan hos Dr Hazman (kiri) dan Syed Mohd Hilmi dengan mengupas pelbagai tema yang bersangkutan ‘Segalanya Perlis’ diharap terus berjaya mengekalkan sebagai “peti khazanah ilmu” versi digital.
MAIPs bagai “ibu” yang membuka ruang untuk Podcast Salasilah Perlis” terus berkembang.

Akhirnya muncul berita yang menggembirakan apabila Sasterawan Pawana atau Haji Wan Nan Wan Mahmud, tetamu podcast Salasilah Perlis Episod 10 bukan sahaja berjaya mencatat view (tontonan) tertinggi di Facebook dari 53 episod di sepanjang tahun lalu malah juga di platform Tiktok.

TONTONAN MELEBIHI 100,000

Video episod ini di Tiktok Salasilah Perlis telah mencatat jumlah tontonan melebihi 100,000 tontonan (views).

Dalam video ini, Haji Wan Nan yang juga penyusun “Kamus Dialek Perlis” menerangkan perbandingan sebutan dalam subdialek Melayu Perlis di Padang Malau, Abi Padang Melangit dan Paya, dengan sebutan dalam Bahasa Melayu Baku.

Rata-rata netizen memberi komen positif di mana sebuah negeri yang kecil mempunyai banyak loghat.

Lebih menarik ada anak Perlis yang tidak pernah mendengar loghat yang dibincangkan, kemungkinan sudah biasa dengan bahasa baku.

MEMPERTAHANKAN LOGHAT KAMPUNG

Bagaimanapun ramai yang berbangga dapat mempertahankan loghat kampung masing-masing.

Semoga dengan pencapaian ini akan memberikan apa yang dihasratkan sebagai satu-satunya podcast menceritakan “Segalanya Perlis” yang kebanggaan anak negeri ini sama ada yang menetap di Perlis atau di seantero dunia.

Berikan tanda kasih sayang sebagai anak Perlis sejati itu dengan menjadi
“follower” dan share episod yang disukai dalam Podcast Salasilah Perlis. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *