Usaha bersepadu agensi kerajaan tunjukkan komitmen tinggi Kerajaan bantu mangsa banjir

Oleh: Sholina Osman
30 JAN. 2025

Usaha bersepadu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi-agensi lain ini menunjukkan komitmen tinggi Kerajaan dalam membantu mangsa yang terjejas akibat bencana.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semoga bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang terlibat, dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan serta bantuan secara peribadi mahupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam usaha ini.

Menerusi hantaran di FB, Nancy menjelaskan beliau melihat sendiri keadaan mangsa-mangsa banjir yang telah dipindahkan ke Pusat Perpindahan Sementara Dewan Haji Kamarudin Kampung Segedup, Sarawak.

Turut bersama adalah Timbalan Pengarah JKM Sarawak, Mohd Ali Taib, Ayahanda Penghulu Hj. Sulaiman bin Hj. Awi dan ayahanda Ketua Kaum, Hj. Rashidi Solek.

SEBANYAK 32 KIR

Beliau berkata, sebanyak 32 KIR dengan 61 mangsa kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Haji Kamaruddin, Kampung Segedup.

“Jumlah mangsa setakat ini adalah 26 KIR (45 mangsa) dari Kampung Surih dan 6 KIR (16 mangsa) dari Kampung Segedup,” katanya.

Bagi memastikan kebajikan dan keselesaan mangsa terjaga, KPWKM melalui JKM, NADMA serta pelbagai agensi lain telah menyalurkan bantuan yang diperlukan.

Antara bantuan yang diberikan termasuk kelengkapan tidur seperti tilam, bantal, tikar, dan selimut.

MEMASTIKAN KENLBERSIHAN DIRI

Selain itu, hygiene kit turut disediakan, merangkumi syampu, sabun badan, berus gigi, dan ubat gigi bagi memastikan kebersihan diri mangsa terpelihara.

Bantuan lain yang diberikan termasuk keperluan asas seperti tuala, kain pelikat, dan kain batik untuk kegunaan harian.

LAMPIN PAKAI BUANG

Bagi mereka yang memerlukan, lampin pakai buang turut disediakan untuk kanak-kanak dan dewasa.

Dari segi makanan, setiap penghuni akan menerima hidangan lima kali sehari dengan kadar RM50 seorang sehari bagi memastikan keperluan pemakanan mereka mencukupi.

Selain itu, susu formula bayi turut diberikan kepada bayi dan anak kecil yang memerlukan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *