






Oleh: Sholina Osman
31 JAN. 2025
Kolej Pakar Perubatan Malaysia kini dalam perancangan untuk memperluaskan ‘Program Saringan Percuma Melibatkan Fungsi Hati Khusus Buat Asnaf Dan Golongan Yang Kurang Berkemampuan di Negeri Perlis’ serta Rakyat Perlis secara umumnya melalui saringan kesihatan peringkat komuniti.
Saringan awal ini telah dilaksanakan pada tahun 2024 melibatkan 2,987 orang asnaf di negeri ini melalui program ‘MAIPs Peduli’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam usaha meningkatkan kesedaran tahap kesihatan awam.
Penyakit hati berlemak telah dikenal pasti sebagai pembunuh senyap dalam kalangan rakyat Malaysia dan masih banyak yang tidak didiagnosis dalam populasi.
RAWATAN MELALUI SARINGAN
Pengenalpastian awal dan rawatan melalui saringan meluas adalah disarankan supaya dapat diperhebatkan.
Kolej Pakar Perubatan Malaysia juga berhadrat untuk menjalankan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis dan Institut Jantung Negara (IJN) dalam merangka strategi dan pendekatan yang terbaik terutamanya data dan maklumat pesakit-pesakit hati yang merupakan golongan sasaran.
Asnaf yang terpilih akan menjalani ‘Fatty Liver Disease (FLD) Screening’ dan ‘Hepatocellular Carcinoma (HCC) Risk Stratification’ serta saringan kesihatan dalam usaha mengesan dan mencegah masalah seperti hati berlemak yang merupakan salah satu faktor menyumbang kepada penyakit kanser hati.
Inisiatif ini, yang akan dijalankan secara perintis di Perlis, akan menjadi contoh unggul untuk diikuti oleh negeri-negeri lain.
MAJLIS SEMBAH MENGHADAP
Maklumat tersebut dipersembah maklumkan oleh Presiden Persatuan Pakar Perubatan Malaysia, Professor Datuk Seri Dr. Paras Doshi kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam Majlis Sembah Menghadap Taklimat di Bilik Mesyuarat, Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.
Inisiatif tersebut dapat dijayakan dengan kerjasama padu daripada Master Akademi Perubatan Malaysia, Professor Dr Rosmawati Mohamad.
Turut hadir sama adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. – JM