


Oleh: Sholina Osman
31 JAN. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa amat sedih dengan tragedi nahas udara berhampiran Lapangan Terbang Nasional Reagan di Washington DC, pada malam Rabu (waktu tempatan).
Beliau berkata, ketika ini pastinya keluarga serta rakan-rakan yang berada di Amerika Syarikat, Rusia, China, Filipina dan Jerman sedang meratapi permergian orang tersayang manakala pasukan penyelamat pula gigih meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
Jelas Perdana Menteri, paling menyayat hati apabila kehilangan atlet luncur ais yang muda dan berbakat serta mempunyai masa depan yang cerah.
BAGI MENGHARUNGI DUGAAN
“Dalam masa kesedihan ini, saya berharap keluarga mangsa mendapat kekuatan dan ketabahan bagi mengharungi dugaan yang berat ini,” katanya menerusi hantaran di FB.
Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia juga turut bersimpati dengan tragedi ini.
Dalam laporan media, pihak berkuasa AS percaya tiada mangsa yang terselamat dalam pelanggaran udara berdekatan Washington yang melibatkan sebuah pesawat komersial membawa 64 penumpang serta sebuah helikopter tentera. – JM