


Hari ini, kita berkumpul sebagai sebuah keluarga besar, satu keluarga yang datang dari pelbagai latar belakang dengan cerita hidup yang berbeza-beza namun berpijak di tanah yang sama, Wilayah Persekutuan.
Wilayah ini bukan sekadar tempat tinggal, ia adalah tempat kita membina impian, mencipta kenangan dan menyemai harapan.
Di sini, setiap jalan yang kita lalui, setiap bangunan yang menjulang tinggi semuanya berdiri teguh kerana usaha dan keringat kita bersama.
TIDAK PERNAH BERMAKNA
Namun, kemajuan tidak pernah bermakna jika hati kita kosong dan jiwa kita terpisah.
Apa yang membuatkan Wilayah Persekutuan ini istimewa, bukan sekadar kemodenannya, tetapi semangat perpaduan dan nilai kekeluargaan yang kita sematkan di setiap sudutnya.
Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, setiap wilayah ini mempunyai cerita yang tersendiri.
JANTUNG EKONOMI NEGARA
Kuala Lumpur, jantung ekonomi negara yang berdenyut dengan kehidupan.
Labuan, permata di perairan yang menjadi pintu kepada peluang antarabangsa.
Putrajaya, pusat pentadbiran negara, lambang kesungguhan dan harapan masa depan.
Tetapi, di sebalik bangunan tinggi dan jalan yang sibuk, kita semua adalah jiwa-jiwa yang saling menyokong, saling membantu dan saling menjaga.
SEBUAH KOTA BESAR
Apa maknanya sebuah kota besar jika penghuninya tidak berpegang kepada nilai kemanusiaan dan kasih sayang.
Hari ini, saya ingin mengajak kita semua untuk melangkah ke hadapan dengan hati yang terbuka.
Bersama kita bawa kebaikan dan semangat baru kepada semua penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Mari kita buktikan bahawa kemajuan bukan hanya tentang bangunan yang megah, tetapi tentang nilai-nilai yang kita pegang erat.
KITA PELIHARA BUDAYA
Kita jaga tradisi, kita pelihara budaya, kita semai perpaduan, di mana pun kita berada, kita adalah warga yang punya tanggungjawab bersama untuk memastikan wilayah ini terus makmur, aman dan sejahtera.
Percayalah, setiap usaha kecil itu memberi impak besar.
Senyuman yang kita berikan, sampah yang kita kutip, jiran yang kita tegur, semuanya menyumbang kepada membentuk komuniti yang lebih baik.
Wilayah Persekutuan ini adalah rumah kita dan rumah yang bahagia terhasil daripada cinta, hormat dan rasa tanggungjawab bersama.
BINA MASA DEPAN
Mari kita bina masa depan yang cerah bersama.
Mari kita terus bersatu dan mari kita pastikan setiap langkah yang kita ambil, membawa kebaikan bukan hanya untuk diri kita, tetapi untuk generasi akan datang.
Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2025. Semoga Wilayah ini terus menjadi tanah harapan, simbol perpaduan dan kebanggaan kita bersama.
Wilayah kita, tanggungjawab kita.
Wilayah Persekutuan Kita!
DR. ZALIHA MUSTAFA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan)