Chatbot Sebenarnya.my : TAPIS BERITA PALSU DENGAN TEPAT,PANTAS –

Oleh Noraini Nordin
(Ulasan berita)
29 Jan 2025

Bukan sahaja masyarakat awam, pemimpin komuniti khasnya yang aktif sebagai pemimpin politik juga amat memerlukan kaedah berkesan untuk memerangi berita-berita palsu yang semakin membarah dalam masyarakat negara ini.

Menurut mereka pelancaran Chatbot Sebenarnya.my oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Putrajaya petang semalam adalah sangat tepat pada masanya dalam usaha Kerajaan Madani membendung berita-berita palsu yang kian parah di negara ini .

Exco Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat , Saribanon Saibun berkata, Chatbot Sebenarnya.my memainkan peranan penting dalam memerangi penyebaran berita palsu dengan memberikan maklumat yang tepat dan pantas kepada pengguna.

Jelas beliau lagi dengan algoritma kecerdasan buatan (AI) yang canggih, Chatbot mampu mengenal pasti sumber maklumat yang sahih dan menapis kandungan yang meragukan.

Pengguna boleh semak berita – Saribanon Saibon
Bendung berita palsu yang membarah – Armila Alias

Selain itu ujar beliau lagi , Chatbot juga boleh berfungsi sebagai alat semakan fakta secara langsung, di mana pengguna boleh bertanya mengenai sesuatu isu dan memperoleh jawapan berdasarkan sumber yang boleh dipercayai.

“Ini membantu mengurangkan penyebaran maklumat yang tidak benar, seterusnya meningkatkan tahap literasi digital dalam kalangan masyarakat.

PERKHIDMATAN PELANGGAN

Selain menangani berita palsu, chatbot juga memberikan banyak manfaat dalam pelbagai sektor seperti perkhidmatan pelanggan, pendidikan, dan kesihatan, ‘’ kata Saribanon Ketua Biro Keanggotaan Wanita KEADILAN Pusat serta Ketua Wanita Cabang Kota Raja, Selangor.

Mengulas lanjut, beliau berkata , dalam bidang perniagaan, Chatbot tersebut boleh membantu menjawab pertanyaan pelanggan secara automatik serta dapat mengurangkan masa menunggu serta meningkatkan perkhidmatan terhadap pelanggan.

Katanya, manakala di sektor pendidikan, chatbot boleh digunakan sebagai tutor maya yang membantu pelajar mendapatkan maklumat dengan lebih cepat dan interaktif.

Menurut beliau lagi, bagi bidang kesihatan, chatbot dapat memberikan nasihat asas berkaitan kesihatan serta menyalurkan maklumat tentang penyakit dan rawatan yang betul, sekali gus mengurangkan penyebaran maklumat kesihatan yang tidak tepat.

Tambah Saribanon lagi , chatbot berperanan dalam meningkatkan kecekapan komunikasi dan akses kepada maklumat bagi masyarakat yang kurang mendapat liputan teknologi.

“Dengan adanya chatbot yang boleh diakses melalui pelbagai platform, termasuk media sosial dan laman web, lebih ramai individu dapat memperolehi maklumat penting tanpa bergantung kepada sumber yang tidak sahih.

“Chatbot juga boleh disesuaikan untuk menyokong pelbagai bahasa dan budaya, menjadikannya alat yang inklusif dan berkesan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat global.

Kata beliau lagi, chatbot bukan sahaja membantu dalam mengekang berita palsu, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan masyarakat yang lebih berinformasi dan berdaya maju.

Pendapat yang sama juga turut dikongsi oleh Ketua Wanita KEADILAN Negeri Terengganu, Armila Alias yang menyambut baik dan menyifatkan pelancaran Chatbot Sebenarnya.my oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Putrajaya semalam boleh membantu membendung berita-berita fitnah yang meracuni masyarakat negara ini.

Menurut Armila setiap hari pelbagai berita `menyerang’ Kerajaan Madani yang secara langsung boleh merosakkan pemikiran rakyat.

Jelasnya serangan fitnah yang bertali arus boleh menjejaskan keharmonian bermasyarakat serta penghalang kemajuan rakyat serta negara .

“Inilah fungsi Chatbot Sebenarnya.my . Ia bertujuan untuk memerangi maklumat palsu dan membolehkan pengguna menyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam talian secara lebih mudah serta pantas, ‘’ ujar beliau lagi.

Chatbot Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Artificial Intelligence Fac-check Assitant(AIFA) yang diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu merupakan platform mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam menerusi portal https://sebenarnya.my/ dan platfrom WhatsAPP (menerusi talian 03-86887997) yang dibangunkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Paling utama Chatbot akan berfungsi sebagai penambahbaikan kepada portal Sebenarnya.my yang dikendalikan oleh MCMC yang berperanan sebagai sebuah pusat sehenti bagi orang ramai menyemak dan menyalurkan berita yang tidak ditentukan kesahihannya, yang diterima secara dalam talian melalui platform, media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog, laman sesawang dan lain-lain dalam bentuk teks.

Chatbot di saluran WhatsApp itu nanti akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memastikan sebarang video atau grafik yang dihantar melalui media sosial itu benar atau palsu.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *