Dr Wan Azizah rasmi NADI Desa Tun Razak

Oleh: Sholina Osman
25 JAN. 2025

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail telah merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Desa Tun Razak, Kuala Lumpur.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan semasa majlis perasmian tersebut seperti sesi pameran reruai Usahawan NADI, taklimat keselamatan dalam talian
serta saringan kesihatan secara percuma.

Dengan perasmian NADI Desa Tun Razak ini menjadikan ia salah satu daripada tiga NADI baharu yang beroperasi sejak 17 September 2024.

Sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan NADI di Kuala Lumpur setakat ini sebanyak 24 buah NADI.

BERPOTENSI UNTUK BERKEMBANG

Dengan pelbagai kemudahan dan program latihan yang disediakan, NADI Desa Tun Razak berpotensi untuk berkembang menjadi pusat komuniti serba guna yang tidak hanya menyediakan platform digital, tetapi juga menjadi ruang interaksi sosial yang akan menjadi tumpuan utama bagi masyarakat setempat.

Dalam pada itu, kewujudan NADI ini membuka peluang besar kepada komuniti setempat untuk menguasai teknologi komunikasi terkini, meningkatkan kemahiran, serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus mewujudkan ekosistem yang lebih dinamik dan berdaya saing.

Fungsi NADI kini telah diperluas bukan sahaja untuk menyediakan capaian Internet, tetapi juga untuk memperkasa komuniti melalui lima (5) teras utama inisiatif Perkhidmatan Pintar yang diperkenalkan sejak Julai 2024 iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran, dan Inisiatif Kerajaan.

Inisiatif Perkhidmatan Pintar ini bertujuan untuk memastikan setiap program yang dijalankan mampu memenuhi keperluan komuniti dengan lebih mendalam, sekali gus memberikan impak yang besar dalam memperbaiki kualiti hidup dan memacu kemajuan masyarakat secara menyeluruh. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *