




Oleh: Sholina Osman
25 JAN. 2025
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah melaksanakan program pelepasan lebih 21 juta ekor benih udang galah ke perairan sungai bernilai RM2.35 juta dari tahun 2021 hingga 2024.
Kenyataan media DOF memaklumkan, di Pahang sahaja, sebanyak 1.7 juta ekor benih udang galah telah dilepaskan ke sungai-
sungai utama sepanjang tempoh tersebut, memberikan manfaat besar kepada komuniti nelayan darat tempatan dan menyokong pemuliharaan ekosistem.
DOF kekal komited untuk menyediakan pelbagai sokongan bagi memastikan industri penternakan udang galah di Malaysia terus berkembang maju dan memberikan impak positif kepada ekonomi negara dan rakyat.
Pada tahun 2023, Malaysia telah mencatatkan pengeluaran sebanyak 793.9 tan metrik udang galah dengan nilai borong RM42 juta, meningkat daripada 625.3 tan metrik (RM30.8 juta) pada tahun 2022.
SUMBANGAN YANG BESAR


Walaupun terdapat sedikit penurunan pada tahun 2024 kepada 417 tan metrik dengan nilai RM22 juta,
pengeluaran udang galah terus memberikan sumbangan yang besar kepada sektor perikanan negara.
Negeri Pahang menunjukkan peningkatan memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun dari 2021 hingga 2023.
Pada tahun 2021, pengeluaran udang galah di Pahang mencatatkan 15.2 tan metrik dengan nilai borong RM1 juta.
Manakala pada tahun berikutnya, 2022, pengeluaran meningkat kepada 19.8 tan metrik dengan nilai borong RM1.4 juta.
LEBIH KETARA BERLAKU
Peningkatan yang lebih ketara berlaku pada tahun 2023, apabila pengeluaran melonjak kepada 74.3 tan metrik dengan nilai borong RM5.6 juta.
DOF kekal komited untuk memastikan kelestarian dan kualiti pengeluaran melalui pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan infrastruktur dan
penyelidikan oleh Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) bagi menghasilkan benih udang galah berkualiti tinggi dan bebas penyakit.
Sebagai sebahagian daripada usaha menangani cabaran seperti kekurangan bekalan benih berkualiti dan kos operasi yang tinggi, DOF telah melaksanakan Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur.
PROGRAM PEMBIAKBAKAAN INDUK
Selain itu, program pembiakbakaan induk udang galah yang bermula sejak tahun 2016 terus menunjukkan
kejayaan dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti pengeluaran.
Dalam usaha melibatkan generasi muda, DOF menggalakkan penyertaan mereka melalui program Geran Agropreneur Muda (GAM) yang menawarkan sokongan kepada individu yang berminat menceburi bidang akuakultur.
Permohonan untuk GAM kini dibuka
sepanjang tahun dan boleh dibuat secara atas talian melalui pautan
https://app-egam.kpkm.gov.my/login – JM