Raja Muda Perlis rai pendakwah antarabangsa hadir program PICS 2025 dengan santapan malam

Oleh: Sholina Osman
24 JAN. 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri majlis meraikan pendakwah-pendakwah terkenal antarabangsa dari pelbagai negara yang hadir ke Perlis bagi menjayakan program Perlis International Sunnah Convention (PICS) 2025 dalam satu majlis santapan malam di Restoran Ya Marhaba, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh anakanda sulung, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullaill telah disambut oleh Mufti Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Antara yang hadir sama adalah Dr. Zakir Naik (India), Sheikh Shady Alsuleiman (Australia), Dr. Muhammad Salah (Mesir), Sheikh Abdur Raheem Green (United Kingdom), Dr. Ahmed Saifuddin, Dr. Omar Suleiman, Dr. Waleed Basyouni, Sheikh Yusuf Estes (Amerika Syarikat), Dr. Bilal Philips (Kanada) dan beberapa ilmuwan Islam terkenal lain.

SECARA TIDAK LANGSUNG

Penganjuran PISC 2025 pada kali ini dijangka dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang peserta dari dalam dan luar negara dan secara tidak langsung dapat merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang berlangsung terutamanya apabila program ini diadakan sewaktu cuti persekolahan.

Selepas majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs menzahirkan rasa suka cita dan amat berbesar hati mengalualukan semua penceramah, tetamu dan peserta PISC 2025 dan berharap agar program ilmu ini akan membawa rahmat dan keberkatan kepada semua pihak yang terlibat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *