Oleh: Sholina Osman
23 OKT. 2024
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyelamatkan tujuh wanita warganegara Vietnam yang disyaki sebagai mangsa eksploitasi seks di sebuah premis rumah kedai dua tingkat di Klang, Selangor pada 21 Oktober 2024.
Kenyataan media JIM memaklumkan, kesemua wanita warganegara Vietnam ini berumur di antara 32 hingga 45 tahun.
“Ia hasil satu operasi membanteras pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran yang bermula pada pukul 11.23 malam,” katanya.
Operasi ini telah melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
DILAPORKAN TELAH DIKURUNG
Berdasarkan maklumat aduan, tujuh wanita warganegara Vietnam itu dilaporkan telah dikurung di premis tersebut akan dipukul jika enggan melayani pelanggan.
Kesemua wanita itu masuk sebagai pelancong tetapi dipaksa dan dieksploitasi sebagai pekerja seks di premis tersebut.
Premis ini dikawal ketat oleh kapten warganegara Bangladesh dan dipantau sepanjang masa melalui kamera litar tertutup (CCTV).
Ketika pemeriksaan, anggota operasi terpaksa memecahkan pintu utama kerana penjaga premis atau kapten berkenaan enggan bekerjasama.
CUBA MELARIKAN DIRI
Kapten cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat dua bangunan, tetapi berjaya ditahan.
Berdasarkan temu bual, kesemua pasport wanita itu dipegang oleh individu dipercayai ejen yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.
Mereka hanya dibayar RM60 bagi setiap pelanggan dan pergerakan dikawal ketat, termasuk larangan keluar untuk membeli makanan dan barang keperluan.
Operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seks) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].
MENGAMBIL TINDAKAN TEGAS
JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di bawah ATIPSOM 2007 [Akta 670].
Sabit kesalahan individu terlibat boleh dikenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun, dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.
JIM mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat tentang jenayah pemerdagangan orang bagi memastikan tindakan undang-undang boleh diambil, selaras usaha kerajaan membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.
Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA di talian 03-8880 1471 atau melalui e-mel: urusetia_p@imi.gov.my. – JM