Oleh: Sholina Osman
22 OKT. 2024
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, setiap calon perlu mempunyai persediaan yang rapi bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajar Malaysia (SPM) yang akan bermula awal bulan Disember depan.
Antara tips yang Baginda kongsikan adalah jangan terburu-buru atau gopoh dalam menjawab soalan, baca kehendak soalan dengan betul dan membahagikan masa menjawab soalan dengan baik.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Orientasi Pembelajaran Cemerlang Untuk Pelajar Cemerlang Dan Pengawas Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis 2024 di Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.
PARA PELAJAR TERPILIH
Program ini telah dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang bertujuan untuk memastikan para pelajar terpilih bersedia, memberi motivasi dan ‘tips’ bagi pelajar menjawab dan menduduki peperiksaan SPM 2024 ini.
Raja Muda juga berharap semua peserta program ini dapat menggunakan sepenuh kesempatan untuk mendapatkan maklumat dan ilmu yang terkini dalam persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM yang sangat penting itu nanti.
Tuanku Syed Faizuddin merangkap Pengerusi YTSP Perlis berkenan untuk menyempurnakan pengurniaan sijil penghargaan kepada 35 penerima lelaki yang merupakan Fasilitator, Urusetia dan Guru-Guru Pengiring Bengkel Jati Diri 2024.
Tuanku Lailatul Shahreen Akashah pula berkenan menyempurnakan pengurniaan sijil penghargaan kepada 18 penerima wanita yang juga merupakan Fasilitator, Urusetia dan Guru-Guru Pengiring bagi bengkel ini.
Raja Muda turut berkenan untuk menyerahkan sumbangan RM5,000 daripada YTSP Perlis dengan kerjasama The Great British Circus kepada Tabung Mangsa Banjir Negeri Perlis melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis yang diwakili oleh Timbalan Pengarahnya, Rusdi Ishak. – JM