Oleh: Sholina Osman
17 JULAI 2024
Karnival Jualan Agro MADANI Mega dan Santai Agropreneur Muda Peringkat Negeri Perlis selama tiga hari mulai 12 Julai 2024 di Dataran Bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Persiaran Wawasan, Kangar telah berjaya mencatatkan nilai jualan berjumlah RM929,132.00.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis, Mohd Anzara Azizan berkata, jumlah ini berdasarkan lima kluster jualan iaitu Jualan Agro Madani, Jualan Industri Makanan dan Asas Tani, Jualan Buah- Buahan, Jualan Florikultur dan Jualan Makanan Popular.
Sekaligus katanya, dengan nilai jualan ini sebenarnya telah melebihi 23 peratus daripada yang telah disasarkan iaitu RM 750,000.00.
“Kehadiran pengunjung ke karnival berkenan juga dicatatkan berjumlah 35,000 orang di mana ia melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu 30,000 orang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
PENYERTAAN 88 USAHAWAN
Mohd Anzara berkata, Karnival Jualan Agro Madani Mega kali ini telah melibatkan penyertaan 88 usahawan yang menawarkan 560 SKU produk keluaran negeri Perlis.
Beliau berkata, nilai penjimatan yang dicatatkan ialah sebanyak RM 278,739.60 dan memberi manfaat kepada 112 orang isi rumah di sini.
“Melalui karnival ini sebanyak 3,800 kampit (38 Mt) Beras Putih Tempatan, 2,000 papan telur ayam dan 10 Mt barangan segar seperti ikan, daging, sayur dan buah-buahan berjaya dipasarkan melalui Pusat Operasi FAMA sendiri, Persatuan Nelayan Negeri Perlis dan usahawan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP),” katanya.
Selain itu katanya, 2,800 set Kombo Madani yang ditawar dengan harga RM10 untuk ayam, sayur dan bawang telah terjual.
30 AKTIVITI GALAKAN
Mohd Anzara berkata, juga disediakan hampir 30 aktiviti galakan pengunjung iaitu Kempen Lebihkan Makan Buah-Buhan Tempatan, Forum Perdana: Keterjaminan Makanan Pemangkin Ekonomi Ummah, Agroyouth Pocket Talk Bicara Usahawan, FAMA Run dan pertandingan-penrtandingan untuk setiap lapisan umur.
“Juga diadakan PILIHAN BERTUAH “CASHLESS LA BOSS” yang dijalankan pada setiap hari dengan menawarkan hadiah terkumpul bernilai hampir RM 15,000.00 dengan kerjasama PAYNET,” katanya.
Bagi memberi kelainan kepada pengunjung katanya, pihak FAMA juga berkolaborasi bersama Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan penganjuran program “High Profile Policing” yang menawarkan pengurangan kompaun saman PDRM sebanyak 50 peratus dan pameran aset- aset PDRM.
Perasmian karnival ini disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga turut
Datuk Badrul Hisham Mohd.
Beliau turut menyampaikan geran insentif KPKM daripada FAMA, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian bernilai hampir RM1.2 juta yang memberi manfaat kepada 71 usahawan di Perlis. – JM