Oleh Noraini Nordin (Analisis)
Entah sudah berapa kali sejak terbentuknya Kerajaan Perpaduan ini, setiap kali muncul cerita tukar kerajaan, ia pasti berakhir dengan kegagalan.
Kali ini ia muncul lagi sebagai tatapan kita semua di saat-saat tahun 2023 hampir melabuhkan tirainya.
Di sebalik kedudukan kerajaan Madani yang diketahui semakin kukuh, kali ini beberapa pempengaruh media sosial pro PN cuba mereka-reka naratif yang tidak berasas kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ditumbangkan.
Kali ini usaha tersebut mereka namakan sebagai ‘Langkah Dubai’ di mana di sanalah kononnya dikatakan gerakan itu diaktifkan kembali yang melibatkan sejumlah Ahli-Ahli Parlimen pelbagai parti.
Meraih Tontonan Tik Tok
Tidak pasti apa tujuan direka-reka cerita tukar kerajaan itu, yang paling mungkin ia hanyalah bertujuan meraih lebih tontonan di Tik Tok sambil mengharapkan sedikit imbuhan daripadanya.
Yang nyata, selain hanya ada dua tiga pemimpin pembangkang berada di Dubai kerana bercuti hujung tahun bersama keluarga masing-masing, ini sekali lagi memperlihatkan cubaan menggugat kedudukan kerajaan tidak berjaya dilakukan.
Kerajaan Perpaduan terbukti semakin kukuh dan sebarang gerakan yang cuba digembar-gemburkan ternyata tidak mendapat sambutan.
Paling mudah untuk difahami, bagi Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan, tidak ada sebab untuk mereka menarik sokongan atau mengalihkan sokongan kepada blok pembangkang.
Seperti seseorang yang sedang bahagia tinggal di rumah sedia ada – yang cukup segala keperluan – sebab apa mahu berpindah ke rumah lain yang belum diketahui keadaan serta rupa bentuknya?
Hentikan Cerita Tukar Kerajaan
Berhentilah dengan cerita tukar kerajaan dan diharapkan ia tidak lagi diulang-ulang pada tahun-tahun mendatang.
Ayuh …jendela 2024 kita buka seluas. Biar mentari indah terus menyinar Malaysia Madani yang kita cintai.
Ayuhlah..
Bermula tahun 2024, semua pihak harus mengutamakan kepentingan negara dan bagaimana untuk menjadikan Malaysia ini lebih baik untuk warganya tanpa mengira kaum dan status .
Berdasarkan sokongan Ahli-Ahli Parlimen dan kedudukan parti-parti yang bergabung dalam Kerajaan Perpaduan, adalah membuang masa sahaja untuk terus bercakap mengenai tukar kerajaan.
Komitmen semua parti untuk terus menyokong Anwar sehingga habis penggal, boleh dikata tidak akan tergugat lagi.
Menghebohkan cerita tukar kerajaan, walaupun dengan naratif palsu, khalayan dan fatamorgana, kesan tidak baiknya adalah kepada negara.
Mahu tukar kerajaan, tunggu saja PRU16 yang dijangka pada tahun 2027 akan datang.
Bye bye ‘Langkah Dubai’..
Penulis juga adalah Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.