Setahun Anwar sebagai PM reputasi Malaysia semakin harum

Oleh Noraini Nordin

Di sebalik pelbagai cabaran dan rintangan, malah cubaan menebuk atap untuk menjatuhkan kerajaan masih berterusan, sedar tak sedar, sudah lebih setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri .

Tarikh 24 November 2023 lalu genaplah setahun Anwar menerajui negara.

Dalam tempoh setahun yang sudah berlalu itu, harus diakui Anwar telah berjaya mengemudi negara ke arah yang lebih baik, malah amat jelas hala tujunya.

Walaupun pembangkang ternampak masih bising menjeritkan pelbagai isu untuk menghentam kerajaan, hakikat yang nyata ialah sokongan terhadap Anwar terus mengukuh dengan 152 daripada 222 Ahli Parlimenn berpihak menyokongnya ketika ini.

Sesuatu yang tidak pernah terjadi sebelum ini ialah di mana lima Ahli Parlimen blok pembangkang secara terbuka turut menyokong kepimpinan Anwar.

Dengan kedudukan sekukuh yang ada sekarang, malah mungkin terus bertambah lagi, Anwar hampir tiada masalah langsung untuk kekal mengemudi negara sehingga PRU16 akan datang.

Selain berjaya mengukuhkan kedudukannya, pentadbiran Anwar juga berjaya menarik pelaburan yang tambah meyakinkan untuk negara.

Pelaburan daripada Amerika dan China khususnya, terus menunjukkan peningkatan, bahkan setiap kali beliau melawat negara berkenaan, sentiasa saja ada pelaburan baru berjaya dibawa masuk.

Anwar juga berjaya melaksanakan pembaharuan untuk rakyat seperti perlaksanaan subsidi bersasar dan gaji progresif yang akan menjadi kenyataan pada tahun depan

Semua itu memberi faedah yang besar kepada rakyat, terutama golongan B40 dan sederhana.

Satu lagi kelebihan yang nyata dimiliki Anwar ialah beliau semakin popular di peringkat antarabangsa .

Dengan populariti PMX secara tidak langsung tambah memudahkan beliau meletakkan nama negara agar lebih dihormati serta semakin harum di pentas dunia.

Kejayaan diplomatik Anwar juga telah berjaya mengembalikan reputasi Malaysia sehingga diyakini hingga ke peringkat antarabangsa.

Dalam konflik di Palestin baru-baru ini misalnya, kegigihan PMX bersuara dalam pelbagai forum, pertemuan dan persidangan untuk menekankan perlunya usaha damai disegerakan, benar-benar sesuatu yang membanggakan.

Bahkan di suatu ketika di depan Presiden Amerika Syarikat sendiri beliau bersuara secara terbuka membela perjuangan rakyat Palestin.

Semua ini pada hakikatnya meletakkan nama Malaysia lebih mengharum, dihormati serta dipandang tinggi.

Setahun yang berlalu di bawah Anwar, tidak diragui lagi negara ini lebih baik keadaannya, diyakini pelabur dan suara kemanusiaan kita di peringkat antarabangsa pula semakin didengari.

Tahun depan dan tahun-tahun seterusnya, yakinlah berdasarkan kegigiran dan kerajinan Anwar bekerja yang seolah-olah tiada istilah penat dalam dirinya, negara kita akan bertambah baik dan semakin dihormati oleh negara luar.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *