BAP akan diberi awal Januari depan – Fadhlina

Oleh Noraini Nordin

Kerajaan perpaduan tetap utamakan pendidikan.
Sebelum ini, sebaik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai membentangkan Belanjawan 2024 pada petang Jumaat lalu, terdengar rungutan ibu bapa mengenai ketiadaan pengumuman mengenai Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebagaimana lazim disediakan pada setiap tahun.

Memandangkan sesi persekolahan akan bermula pada Mac 2024, kebimbangan mulai timbul mengenai belanja persiapan yang perlu disediakan untuk anak yang bersekolah.

Dengan itu, banyak luahan kedengaran mengenainya, terutama di media sosial.

Dalam satu pertemuan dengan Menteri Pendidikan YB Fadhlina Sidek tengahari ini beliau memaklumkan bahawa ibubapa tidak perlu bimbang kerana BAP akan disalurkan awal Januari depan.

” Ibubapa tidak perlu bimbang kerana Kementerian Pendidikan tetap menyediakan BAP kepada murid-murid sekolah sebagaimana biasa.

Ini komitmen dari Kerajaan Madani,” katanya.

Jelas beliau lagi, bantuan itu akan diagihkan kepada setiap murid secara tunai atau dikreditkan ke akaun masing-masing bermula Januari 2024.

Dimaklumkan juga bahawa Belanjawan 2024 telah memperuntukkan RM788,130,000 khusus untuk BAP dan setiap murid akan menerima RM150 secara sekali bayar.

Bagi tahun 2024, bantuan itu akan memberi manfaat kepada seramai 5,254,200 orang murid di seluruh negara.

BAP dengan jumlah lebih RM788 juta bagi tahun 2024 ini adalah lebih tinggi berbanding tahun lepas iaitu sebanyak RM450 juta.

Selain itu, peruntukan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) turut dinaikkan kepada RM784 juta bagi tahun 2024 berbanding RM625 juta tahun lalu.

Elaun murid berkeperluan khas pula diperuntukkan sebanyak RM199 juta bagi tahun depan berbanding RM181 juta tahun sebelumnya.

Belanjawan 2024 baru-baru ini memperuntukkan sebanyak RM58.7 bilion kepada Kementerian Pendidikan, sekali gus mengekalkan bidang pendidikan sebagai komponen utama yang menerima peruntukan tertinggi daripada perbelanjaan kerajaan.

Semua angka-angka di atas adalah petunjuk jelas yang memperlihatkan kerajaan tidak pernah mengabaikan, malah sentiasa mengutamakan keperluan di bidang pendidikan dalam perbelanjaannya.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *