Kenyataan Akhbar ANGKATAN MUDA KEADILAN
Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang baru-baru ini muncul lagi dengan kenyataan cenderung bersifat hasad yang merendahkan Pakatan Harapan sebagai sebuah gabungan yang dipimpin banduan, dipercayai merujuk kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Ini bukan kali pertama Haji Hadi menyerang Perdana Menteri dengan gelaran demikian. Malah ia sejak bertahun lalu menjadi antara label yang paling digemari oleh beliau untuk digunakan ke atas Perdana Menteri.
Di saat kita tahu Perdana Menteri sendiri tidak pun terkesan dengan serangan oleh Haji Hadi tersebut, timbul tanda tanya apa yang sebenarnya yang cuba dicapai oleh Haji Hadi dengan menggunakan gelar banduan ke atas seseorang dengan tujuan merendah-rendahkan mereka?
Dalam sejarah perkembangan Islam sendiri, Imam Empat Mazhab; Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad Hanbal, dan Imam Syafi’e – kesemuanya pernah dipenjara seraya menjadikan mereka turut dalam waktu dan ketikanya memakai gelar ‘banduan’.
Begitu juga dengan tokoh-tokoh besar dunia Islam; tidak sedikit yang memakai gelar banduan dalam hidup mereka. Sayyid Qutb, Buya Hamka, Mohamed Morsi, Rashid Ghannushi antara ramai yang kita ketahui juga pernah dan adalah penghuni penjara.
Malah, baru 13 September yang lepas, Haji Hadi sendiri membayangkan bahawa pemenjaraan ke atas dirinya adalah lebih baik berbanding membayar denda. Ertinya beliau sendiri sedia untuk memakai gelar banduan, maka apa masalahnya dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai bekas banduan?
Orang Islam beriman dengan qada’ dan qadar. Setiap yang berlaku itu adalah takdir dan ketentuan Allah SWT.
Sudah tertulis Perdana Menteri kita hari ini adalah antara insan yang diuji dengan tohmah dan fitnah sehingga terpenjara dalam jalan perjuangannya sebelum diangkat darjat untuk memimpin negara. Seharusnya ia jadi pedoman besar buat kita, bukan untuk direndah-rendahkan.
Sebagai seseorang yang hari ini memakai gelar ‘ulama dan pendakwah’; merendah-rendahkan takdir dan nasib seseorang, apa lagi yang diketahui sendiri olehnya sebagai orang yang bertahun dizalimi dan pernah beliau sendiri bela; Haji Hadi perlu bermuhasabah dan menekuni dengan semulia hati, bukan dengan penuh nafsu politik disulami tutur penuh hasad dan dengki. Bukan itu sifat orang alim dalam jalan dakwah.
Tidak terhakis pun rasanya taat dan patuh pendokong Haji Hadi di dalam PAS andai tutur kata yang lebih baik terbit berbanding cerca dan hina ke atas lawan politik. Jika terus-terusan begini, janganlah rasa terkesan pula apabila masyarakat hari ini makin ramai yang mempertikai apakah benar Haji Hadi ini seorang ulama.
Angkatan Muda KEADILAN