
MUKADIMAH
Buli siber bukan sekadar kata-kata di sebalik skrin. Kesannya boleh meninggalkan luka emosi yang mendalam, malah mengubah kehidupan seseorang. Tanpa disedari, sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa atau pelaku buli siber.
Lebih membimbangkan, ada mangsa yang memilih untuk berdiam diri kerana tidak mengetahui hak mereka atau saluran untuk mendapatkan bantuan.
Tekanan emosi yang berpanjangan boleh menjejaskan kesihatan mental, malah dalam kes yang serius, meningkatkan risiko mangsa mencederakan diri atau membunuh diri.
Pada masa sama, masih ada individu yang menganggap perbuatan membuli di alam maya sebagai gurauan atau perkara remeh, sedangkan setiap penghinaan, ugutan dan gangguan boleh membawa kesan serius kepada mangsa serta implikasi undang-undang kepada pelaku.
Laporan khas Jendela MADANI kali ini mengupas isu BULI SIBER, termasuk bentuk pembulian, hak mangsa, saluran mendapatkan bantuan serta peranan Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dalam memperkukuh perlindungan pengguna dan mewujudkan ruang digital yang lebih selamat untuk semua.
KUPASAN 1 — BULI SIBER MAKIN MEMBARAH, ADUAN MENINGKAT LEBIH TIGA KALI GANDA
Buli siber semakin membimbangkan apabila jumlah aduan yang diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meningkat lebih tiga kali ganda, sekali gus mencerminkan cabaran keselamatan yang semakin serius di ruang digital.
Sepanjang 2024, MCMC menerima 11,385 aduan berkaitan buli siber, dengan 8,756 kandungan diturunkan.
Bagi tempoh 1 Januari hingga 1 Oktober 2025 pula, jumlah aduan meningkat kepada 35,781, manakala 27,704 kandungan telah diturunkan.
Ini bermakna jumlah aduan dalam tempoh tersebut sudah melebihi tiga kali ganda berbanding keseluruhan tahun sebelumnya, sekali gus memperlihatkan peningkatan ketara kes yang dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Buli siber bukan sekadar kata-kata kesat
Di sebalik skrin telefon, satu komen menghina, mesej ugutan atau penyebaran gambar memalukan boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap kehidupan seseorang.
Buli siber merangkumi perbuatan mengancam, menghina, memalukan atau mengganggu individu secara berulang melalui media sosial, aplikasi pemesejan, telefon bimbit dan permainan dalam talian.
Antara bentuk yang lazim berlaku termasuk penghantaran mesej ugutan, penyebaran gambar atau video tanpa kebenaran, penyebaran maklumat palsu untuk menjatuhkan maruah serta penghinaan dan ejekan secara terbuka di ruangan komen.
Tidak seperti buli secara bersemuka, serangan di alam maya boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Lebih membimbangkan, kandungan yang tersebar boleh dikongsi berulang kali dan terus menghantui mangsa walaupun selepas kejadian asal berlaku.
Pembuli juga boleh menggunakan akaun palsu atau identiti samaran untuk menyembunyikan identiti mereka.
Mangsa menanggung tekanan, pembuli terus menyerang
Bagi mangsa, kesan buli siber bukan sekadar rasa malu atau tersinggung. Serangan berulang boleh mencetuskan tekanan emosi, keresahan dan kemurungan, sekali gus menjejaskan kehidupan seharian.
Keadaan menjadi lebih serius apabila mangsa tidak mengetahui hak mereka, tidak pasti saluran untuk mendapatkan bantuan atau takut untuk tampil membuat laporan.
Tanpa sokongan dan tindakan sewajarnya, tekanan berpanjangan boleh menjejaskan kesejahteraan mental serta keselamatan mangsa.
Aduan meningkat, keselamatan digital tanggungjawab bersama
Peningkatan jumlah aduan dan kandungan yang diturunkan menunjukkan semakin banyak kandungan berkaitan buli siber dilaporkan dan diambil tindakan, sekali gus menuntut usaha pencegahan serta perlindungan yang lebih menyeluruh.
Isu ini bukan lagi boleh dipandang ringan. Kerjasama pengguna, ibu bapa, institusi pendidikan, penyedia platform digital dan pihak berkuasa amat penting bagi membendung budaya buli siber daripada terus berleluasa.
Dari sudut perundangan, buli siber juga tidak semestinya direkodkan sebagai satu kategori kesalahan jenayah yang berasingan dalam statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebaliknya, sesuatu kes boleh melibatkan unsur ugutan, gangguan, penghinaan, penyebaran kandungan atau kesalahan lain, bergantung kepada fakta kes dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Jangan jadi pembuli, jangan berdiam diri jika dibuli
Setiap pengguna Internet mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ruang digital tidak menjadi medan penghinaan, ugutan atau serangan terhadap orang lain. Kebebasan bersuara bukan lesen untuk membuli.
Mangsa pula perlu mengetahui bahawa mereka mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan dan bantuan.
Simpan bukti seperti tangkap layar, pautan dan mesej berkaitan, laporkan kandungan kepada platform digital serta salurkan aduan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.
Buli siber bukan perkara remeh. Jangan tunggu sehingga ada yang menjadi korban sebelum kita mengambil tindakan.

LAPORAN KHAS ONSA – BULI SIBER
KUPASAN 2 — BULI SIBER: APABILA PENDERITAAN MANGSA DIJADIKAN HIBURAN
Di sebalik skrin, ada yang menganggap penghinaan, ejekan dan serangan terhadap individu lain sebagai hiburan. Namun, bagi mangsa, setiap kata-kata yang dilemparkan boleh meninggalkan kesan emosi yang mendalam.
Buli siber bukan lagi sekadar pertelingkahan di ruangan komen, sebaliknya boleh bertukar menjadi serangan berterusan yang mengancam keselamatan, mencemarkan maruah dan menjejaskan kesejahteraan mangsa.
Pembuli siber datang daripada pelbagai latar belakang dan mempunyai motif berbeza. Ada yang mengenali mangsa secara peribadi, manakala yang lain berselindung di sebalik akaun palsu atau bertindak secara berkumpulan.
Empat profil pembuli siber
Rakan sebaya dan kenalan rapat merupakan antara individu yang boleh terlibat dalam buli siber, termasuk rakan sekolah, kolej, universiti, rakan sekerja atau mereka dalam lingkungan sosial mangsa.
Konflik peribadi, persaingan, perasaan cemburu dan dendam boleh menjadi pencetus apabila pertelingkahan di dunia sebenar dibawa ke media sosial dan bertukar menjadi serangan terbuka.
Pengguna akaun palsu atau individu tanpa nama pula mengambil kesempatan daripada identiti samaran untuk menghina, mengugut, mencetuskan provokasi atau menjadikan penderitaan orang lain sebagai bahan hiburan.
Di sebalik identiti yang tersembunyi, mereka mungkin berasa lebih berani melakukan sesuatu yang tidak sanggup dilakukan secara bersemuka.
Serangan berkumpulan atau cybermob berlaku apabila sekumpulan pengguna media sosial menyerang seseorang secara serentak, lazimnya susulan sesuatu isu, kenyataan atau tindakan yang mencetuskan kemarahan kelompok tertentu.
Bekas pasangan juga boleh menjadi pelaku buli siber apabila konflik hubungan bertukar menjadi gangguan digital, ugutan, pemerasan atau penyebaran maklumat dan bahan peribadi tanpa kebenaran.
Remaja, wanita dan individu berprofil tinggi turut menjadi sasaran
Golongan remaja dan pelajar sekolah antara kumpulan yang terdedah kepada buli siber, khususnya apabila serangan datang daripada rakan sebaya sendiri.
Gangguan boleh berlaku melalui kumpulan WhatsApp, Telegram, akaun media sosial sekolah atau platform digital lain, termasuk pemulauan dalam talian, penyebaran khabar angin serta ejekan terhadap penampilan fizikal.
Pempengaruh, selebriti dan pencipta kandungan pula boleh berdepan kecaman beramai-ramai, ancaman, fitnah serta serangan terhadap reputasi berikutan keterdedahan mereka di ruang digital.
Wanita dan golongan muda juga berisiko menjadi sasaran gangguan seksual dalam talian, perbuatan menghendap secara digital (cyberstalking) serta ugutan menyebarkan bahan peribadi, khususnya dalam konflik hubungan.
Malah, individu yang menyuarakan pandangan berbeza daripada kelompok majoriti juga boleh menjadi sasaran serangan, penghinaan dan gangguan oleh pengguna tanpa nama.
Mengapa orang biasa boleh bertukar menjadi pembuli?
Mengapa seseorang yang kelihatan baik dan sopan dalam kehidupan seharian boleh bertindak agresif apabila berada di sebalik skrin?
Fenomena ini boleh dijelaskan melalui konsep online disinhibition effect, iaitu keadaan apabila seseorang berasa lebih bebas berkata-kata atau bertindak secara melampau dalam talian kerana tidak berhadapan secara langsung dengan mangsa.
Apabila tidak melihat wajah, tangisan atau penderitaan mangsa, seseorang mungkin kurang menyedari kesan sebenar perbuatannya.
Dalam serangan berkumpulan pula, wujud fenomena deindividuation, apabila individu merasakan tanggungjawab peribadi semakin berkurangan kerana tindakan mereka dilakukan bersama orang ramai.
Akibatnya, penghinaan yang pada mulanya dianggap sekadar satu komen boleh berkembang menjadi serangan beramai-ramai yang memberi tekanan besar kepada mangsa.
Akaun palsu bukan jaminan terlepas daripada tindakan
Berselindung di sebalik akaun palsu tidak bermakna seseorang bebas melakukan buli siber tanpa risiko dikesan.
Jejak digital, rekod teknikal dan kaedah forensik siber boleh membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan, tertakluk kepada fakta, bukti dan keadaan sesuatu kes.
Setiap hantaran, mesej atau perkongsian yang melanggar undang-undang boleh membawa implikasi perundangan, walaupun dilakukan menggunakan identiti samaran.
Jangan jadikan penderitaan orang lain sebagai hiburan
Buli siber bukan sekadar masalah antara mangsa dengan pembuli. Ia merupakan tanggungjawab bersama yang menuntut peranan keluarga, sekolah, komuniti, penyedia platform digital dan pihak berkuasa.
Mangsa tidak seharusnya berdiam diri. Sebarang ugutan, gangguan atau penyebaran kandungan yang memudaratkan perlu disimpan sebagai bukti dan dilaporkan melalui saluran yang bersesuaian.
Pada masa sama, pengguna media sosial perlu lebih berhemah sebelum menulis komen, berkongsi hantaran atau menyertai serangan terhadap individu lain.
Apa yang dianggap lucu oleh pembuli mungkin menjadi penderitaan yang terpaksa ditanggung mangsa untuk tempoh yang panjang.
Jangan jadikan skrin sebagai tempat bersembunyi untuk menyakiti orang lain. Di sebalik setiap akaun media sosial, ada insan yang mempunyai perasaan, maruah dan hak untuk dilindungi.


LAPORAN KHAS BULI SIBER
KUPASAN 3 — BULI SIBER: LUKA EMOSI DI SEBALIK SKRIN
Satu komen menghina mungkin mengambil masa beberapa saat untuk ditulis, tetapi kesannya boleh menghantui mangsa untuk tempoh yang panjang.
Itulah realiti buli siber yang semakin membimbangkan dalam kehidupan masyarakat digital hari ini.
Di sebalik kemajuan teknologi yang memudahkan komunikasi dan perkongsian maklumat, ruang digital turut menjadi medan penghinaan, ugutan dan gangguan yang boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap kesejahteraan emosi seseorang.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdulah berkata, buli siber bukan sekadar gangguan di alam maya, sebaliknya boleh menjejaskan kesihatan mental, keyakinan diri dan kehidupan sosial mangsa.
Menurut beliau, perbuatan menghina, mengugut, memfitnah, menyebarkan maklumat palsu atau memalukan seseorang melalui Facebook, Instagram, TikTok, X dan aplikasi pemesejan segera boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang.
Jejak digital, luka yang sukar dipadam.
Dr. Siti Maisarah menjelaskan bahawa buli siber mempunyai kesan yang kompleks kerana kandungan yang dimuat naik boleh tersebar dalam sekelip mata, disimpan dan dikongsi semula walaupun selepas kejadian asal berlalu.
“Jejak digital yang ditinggalkan oleh pembuli siber boleh menjadi parut yang berpanjangan kepada mangsa, termasuk menjejaskan keyakinan diri, kehidupan peribadi dan masa depan mereka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa penggunaan akaun tanpa nama untuk menyebarkan kebencian, fitnah dan penghinaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan nilai moral, empati dan tanggungjawab ketika berinteraksi dalam talian.
ONSA PERKUKUHKAN PERLINDUNGAN PENGGUNA
Dalam menangani ancaman tersebut, Dr. Siti Maisarah turut menekankan kepentingan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) sebagai antara instrumen perundangan untuk memperkukuh keselamatan pengguna di ruang digital.
Menurut beliau, penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi tanpa pendidikan, kesedaran dan perubahan sikap masyarakat terhadap budaya buli siber.
Pendekatan menyeluruh yang menggabungkan tanggungjawab platform digital, pendidikan keselamatan Internet dan kerjasama pelbagai pihak penting bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
MANGSA BULI KONGSI PENGALAMAN PAHIT
Bagi Yati, 19, pengalaman menjadi mangsa buli siber selepas videonya tular di media sosial meninggalkan kesan yang sukar dilupakan.
Yati, bukan nama sebenar, berkata kecaman dan mesej berbaur penghinaan yang diterimanya bukan sahaja menjejaskan emosi, malah turut memberi tekanan kepada keluarganya.
Serangan yang berterusan menyebabkan dia hilang keyakinan diri, sukar menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan semakin menjauhkan diri daripada keluarga serta rakan-rakan.
Bagaimanapun, sokongan keluarga membantu Yati menghadapi pengalaman pahit tersebut dan membina semula keyakinan untuk meneruskan kehidupan.
GURAUAN BAGI PEMBULI PENDERITAA BAGI MANGSA
Apa yang dianggap sekadar gurauan oleh pembuli mungkin menjadi pengalaman yang amat menyakitkan bagi mangsa.
Dari sudut kaunseling, komen menghina, ejekan dan serangan berulang di media sosial boleh mencetuskan tekanan psikologi, terutama apabila mangsa berasa keseorangan atau tidak mempunyai tempat untuk mendapatkan bantuan.
Antara tanda yang perlu diberi perhatian termasuk perubahan tingkah laku, kecenderungan mengasingkan diri, hilang keyakinan dan tekanan emosi yang berpanjangan.
Mangsa digalakkan berkongsi pengalaman dengan individu yang dipercayai serta mendapatkan bantuan kaunseling atau sokongan profesional apabila diperlukan.
Tanggungjawab bersama, bukan mangsa semata-mata
Membendung buli siber bukan tanggungjawab mangsa atau pihak berkuasa semata-mata.
Ia memerlukan keprihatinan dan tindakan bersama seluruh masyarakat.
Ibu bapa perlu membimbing anak-anak mengenai penggunaan Internet secara selamat, manakala institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam memupuk nilai empati, etika digital dan sikap saling menghormati.
Pada masa sama, penyedia platform digital, agensi kerajaan dan komuniti perlu memperkukuh mekanisme perlindungan, saluran aduan serta sokongan kepada mangsa.
Pengguna media sosial juga perlu lebih berhati-hati sebelum menghasilkan, berkongsi atau memberi komen terhadap sesuatu kandungan, khususnya yang boleh mengaibkan atau menjatuhkan maruah individu lain.
Kebebasan bersuara bukan lesen untuk membuli
Kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab.
Hak untuk menyuarakan pandangan tidak bermakna seseorang bebas menghina, mengugut atau memalukan orang lain.
Buli siber bukan lagi isu terpencil, sebaliknya cabaran sosial yang menuntut tindakan bersepadu bagi melindungi kesejahteraan pengguna dan membina budaya komunikasi digital yang lebih berhemah.
Sebelum menulis atau berkongsi sesuatu di media sosial, fikirkan kesannya terhadap orang lain.
Kerana di sebalik setiap skrin, ada manusia yang mempunyai perasaan, maruah dan hak untuk dihormati.

LAPORAN KHAS ONSA: BULI SIBER
KUPASAN 4 — BULI SIBER:
TEKANAN EMOSI BOLEH MEMBAWA PADAH
Buli siber bukan sekadar meninggalkan luka emosi. Dalam keadaan serius, tekanan psikologi yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko kemurungan, mencederakan diri dan tingkah laku bunuh diri, khususnya apabila mangsa tidak mendapat sokongan yang diperlukan.
Di sebalik setiap kes buli siber, ada mangsa yang terpaksa berdepan penghinaan, ugutan dan gangguan berulang sehingga menjejaskan kehidupan seharian mereka.
Antara kes yang mendapat perhatian dunia ialah kematian penyanyi dan pelakon Korea Selatan, Choi Jin-ri atau lebih dikenali sebagai Sulli, pada 2019 ketika berusia 25 tahun.
Mendiang dilaporkan pernah berdepan kecaman dan gangguan dalam talian, sekali gus mencetuskan perbincangan meluas mengenai kesan buli siber terhadap kesihatan mental.
Bagaimanapun, kematiannya tidak wajar dikaitkan dengan satu faktor semata-mata.
Di Malaysia, kematian pempengaruh media sosial, A. Rajeswary Appahu atau Esha, pada 5 Julai 2024 turut mencetuskan kesedaran nasional mengenai ancaman buli siber dan keperluan memperkukuh perlindungan terhadap mangsa.
KES ESHA BUKA MATA MASYARAKAT
Esha, 30, dilaporkan menerima gangguan dalam talian termasuk ugutan dan kata-kata kesat menerusi platform media sosial.
Sehari sebelum ditemukan meninggal dunia, beliau telah membuat laporan polis berhubung ancaman dan gangguan yang dialaminya.
Kes tersebut mendapat perhatian meluas dan membawa kepada tindakan undang-undang terhadap individu yang dikaitkan dengan kandungan berkenaan.
Tragedi itu turut membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan mekanisme aduan, tindakan terhadap pembuli serta keperluan memastikan mangsa mendapat perlindungan dan bantuan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
UNDANG- UNDANG LEBIH TEGAS TANGANI BULI SIBER
Usaha memperkukuh perlindungan terhadap mangsa menyaksikan pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan kesalahan buli mula berkuat kuasa pada 11 Julai 2025.
Peruntukan baharu Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan memperkenalkan kesalahan berkaitan gangguan, ancaman, penghinaan, buli dan penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk perbuatan yang dilakukan dalam talian.
Antara peruntukan penting ialah Seksyen 507D, yang turut menangani perbuatan provokasi sehingga menyebabkan seseorang mencederakan diri.
Dalam keadaan tertentu yang melibatkan cubaan bunuh diri atau kematian akibat bunuh diri, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya, tertakluk kepada pembuktian unsur kesalahan.
Pada masa sama, Seksyen 507A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menghendap memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya.
Peruntukan ini memberi mesej jelas bahawa perbuatan mengugut, mengganggu atau membuli seseorang bukan perkara remeh dan boleh membawa implikasi undang-undang yang serius.
ONSA PERKUKUHKAN TANGGUNGJAWAB PLATFORM DIGITAL
Selain undang-undang jenayah, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 memperkukuh kerangka perlindungan pengguna melalui tanggungjawab yang lebih jelas terhadap penyedia perkhidmatan digital yang tertakluk kepada akta berkenaan.
ONSA memberi penekanan kepada pengurusan risiko kandungan memudaratkan, penyediaan mekanisme aduan dan bantuan pengguna serta perlindungan khusus terhadap kanak-kanak.
Melalui pendekatan ini, usaha menangani risiko keselamatan dalam talian bukan lagi bergantung semata-mata kepada tindakan mangsa membuat laporan tetapi turut menuntut langkah pencegahan dan perlindungan oleh penyedia perkhidmatan yang dikawal selia.
BULI SIBER TIDAK BERAKHIR APABILA TELEFON DIMATIKAN
Bagi mangsa, menutup telefon atau meninggalkan media sosial tidak semestinya menamatkan penderitaan yang dialami.
Berbeza dengan buli secara bersemuka, gangguan dalam talian boleh berlaku pada bila-bila masa.
Kandungan yang telah tersebar juga boleh disimpan, dikongsi semula dan dilihat oleh khalayak yang lebih luas.
Ugutan, penghinaan, penyebaran maklumat peribadi dan gangguan berulang boleh menyebabkan mangsa hidup dalam ketakutan, kehilangan keyakinan diri serta berdepan tekanan emosi yang berpanjangan.
Justeru, mangsa tidak seharusnya memendam masalah atau berdepan situasi tersebut secara bersendirian.
Bukti seperti tangkap layar, pautan, mesej dan maklumat akaun pelaku perlu disimpan untuk membantu proses aduan dan siasatan.
Mangsa juga digalakkan mendapatkan sokongan keluarga, individu yang dipercayai atau bantuan profesional.
JANGAN TUNGGU SEHINGGA TERLAMBAT
Buli siber bukan sekadar isu penggunaan media sosial tetapi turut melibatkan keselamatan, kesihatan mental dan kesejahteraan manusia.
Setiap pengguna Internet perlu memahami bahawa kata-kata dan tindakan di alam maya boleh membawa kesan besar terhadap kehidupan orang lain.
Mangsa perlu dibantu, bukan dipersalahkan.
Pembuli pula perlu sedar bahawa setiap tindakan mempunyai akibat dan boleh membawa kepada tindakan undang-undang.
Jangan tunggu sehingga kehilangan nyawa untuk menyedari betapa seriusnya buli siber.
Bertindak lebih awal, hulurkan bantuan dan jadikan ruang digital tempat yang lebih selamat untuk semua.
RUMUSAN:
10 LANGKAH TANGANI BULI SIBER MELALUI ONSA
Buli siber bukan sekadar ancaman di alam maya, tetapi boleh menjejaskan keselamatan, maruah dan kesejahteraan mangsa.
Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) memperkukuh perlindungan pengguna dengan menetapkan tanggungjawab kepada penyedia perkhidmatan digital yang tertakluk kepada akta berkenaan, khususnya dalam menangani kandungan memudaratkan dan melindungi kanak-kanak.
Berikut 10 langkah yang boleh membantu membendung buli siber melalui pelaksanaan ONSA dan kerjasama pelbagai pihak:
1.Pengesanan awal – Kenal pasti kandungan berunsur ugutan, gangguan dan serangan berulang.
2.Saluran aduan mudah – Sediakan mekanisme pelaporan yang jelas, cepat dan mesra pengguna.
3.Tindakan terhadap kandungan – Tangani kandungan memudaratkan mengikut undang-undang dan dasar platform.
4.Perlindungan kanak-kanak – Perkukuh ciri keselamatan dan kawalan bersesuaian dengan umur.
5.Sekat penyebaran semula – Kurangkan penyebaran kandungan berbahaya yang boleh terus mengaibkan mangsa.
6.Tangani pembuli berulang – Ambil tindakan terhadap akaun yang berulang kali melakukan gangguan berdasarkan peraturan berkaitan.
7.Simpan bukti digital – Rekod tangkap layar, pautan, mesej dan maklumat akaun pelaku.
8.Kerjasama penguatkuasaan – Laporkan ugutan atau gangguan berunsur jenayah kepada PDRM atau pihak berkuasa berkaitan.
9.Tingkatkan literasi digital – Jangan balas provokasi, jangan sebarkan kandungan berbahaya, simpan bukti dan laporkan.
10.Peranan keluarga dan sekolah – Didik anak-anak mengenali buli siber serta mendapatkan bantuan lebih awal.
TINDAKAN BERSAMA, RUANG DIGITAL LEBIH SELAMAT
Membendung buli siber memerlukan kerjasama platform digital, pihak berkuasa, sekolah, keluarga dan masyarakat.
ONSA menjadi salah satu lapisan perlindungan yang dilengkapi penguatkuasaan, pendidikan dan kesedaran pengguna.
Jangan jadi pembuli.
Jangan berdiam diri jika dibuli.
Simpan bukti, buat laporan dan dapatkan bantuan.
