
DOHA, 9 November – Malaysia menggesa Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) memperluas penilaian ketersambungan digital global agar tidak hanya tertumpu kepada kawasan berpenduduk, tetapi turut meliputi kawasan ekonomi utama seperti pelabuhan, rangkaian kereta api dan lebuh raya.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Malaysia sedang meneroka konsep Coverage of Economic Areas (CoEA) sebagai pelengkap kepada pendekatan sedia ada, iaitu Coverage of Population Areas (CoPA).
Menurutnya, peluasan liputan Internet ke kawasan ekonomi penting diperlukan bagi menyokong operasi perniagaan, pertumbuhan ekonomi dan daya tahan negara.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan dasar negara pada Persidangan Perwakilan Penuh ITU 2026 (PP-26) di Doha.
Malaysia turut mencatat kemajuan dalam pembangunan infrastruktur digital menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), dengan liputan Internet di kawasan berpenduduk mencapai 99.75 peratus setakat September 2026, manakala langganan 5G mencecah 31.3 juta.
Dalam usaha memperkukuh keterangkuman digital, sebanyak 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) turut menyediakan kemudahan latihan kemahiran digital dan peluang keusahawanan kepada masyarakat.
Pada masa sama, Malaysia terus memperkukuh keselamatan dalam talian menerusi penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 sejak Januari 2026 serta kempen keselamatan Internet yang telah mencapai lebih tiga juta peserta.
Fahmi turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap kerjasama antarabangsa dan berharap negara anggota ITU menyokong pencalonan Malaysia untuk dipilih semula sebagai anggota Majlis ITU bagi penggal 2027 hingga 2030.
Persidangan ITU PP-26 yang bertemakan Together for A Connected, Digital Future menghimpunkan negara anggota bagi membincangkan hala tuju telekomunikasi dan pembangunan digital global.
