
DOHA, 8 November – Malaysia berhasrat memperluas penggunaan teknologi satelit dan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh daya tahan sistem komunikasi negara, khususnya ketika berdepan bencana yang menjejaskan infrastruktur telekomunikasi konvensional.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, teknologi berkenaan berpotensi menyediakan saluran komunikasi alternatif, terutama di kawasan pedalaman dan lokasi yang terjejas akibat bencana.
Menurutnya, Malaysia turut meneroka integrasi rangkaian terestrial dan bukan terestrial bagi memastikan perkhidmatan komunikasi penting terus berfungsi ketika kecemasan.
Sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang membangunkan MCMC PRIME, iaitu sistem komunikasi radio dan Internet mudah alih yang membolehkan kesalinghubungan diteruskan sekiranya rangkaian telekomunikasi konvensional terganggu.
Fahmi berkata, sistem berkenaan penting bagi membantu penyelarasan operasi menyelamat, komunikasi antara agensi tindak balas kecemasan serta penyampaian maklumat penting kepada masyarakat terjejas.
Beliau berkata demikian pada Ministerial Panel sempena Mobile World Congress (MWC) Doha 2026: Digital Leadership Forum di Doha.
Beliau turut menegaskan kerjasama antara MCMC, pengendali telekomunikasi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa berkaitan perlu diperkukuh bagi memastikan tindakan pemulihan rangkaian dapat dilaksanakan dengan lebih pantas.
Menurutnya, daya tahan komunikasi bukan sekadar melindungi infrastruktur, tetapi memastikan maklumat dan bantuan dapat disampaikan tepat pada masanya ketika keselamatan serta nyawa orang ramai menjadi taruhan.
– BERNAMA
