
KUALA LUMPUR, 10 NOVEMBER 2026 – Pembangunan projek mega dan bangunan berskala besar perlu mengambil kira kesejahteraan awam serta keperluan masyarakat, bukannya hanya menumpukan aspek pertumbuhan ekonomi dan kemajuan fizikal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegagalan memahami keperluan masyarakat dalam perancangan pembangunan boleh mencetuskan kekecewaan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 (International Construction Week 2026) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Anwar, transformasi industri pembinaan negara perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada masyarakat, termasuk penyediaan rumah mampu milik yang berkualiti, selamat dan sesuai didiami.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan bandar tidak boleh sekadar meniru model luar negara seperti London atau New York, sebaliknya perlu disesuaikan dengan iklim, persekitaran, budaya dan keutamaan masyarakat tempatan.
SASAR 500,000 RUMAH MAMPU MILIK
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan sasaran penyediaan 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2030, sebagai sebahagian daripada aspirasi membina satu juta unit rumah dalam tempoh 2026 hingga 2035.
TEKNOLOGI MODEN
Katanya, penggunaan teknologi moden termasuk pembinaan modular perlu diperkasakan bagi meningkatkan kecekapan pembinaan tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kualiti, keselesaan penghuni dan kos.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh keupayaan industri tempatan, termasuk penglibatan syarikat dalam pembangunan, pengeluaran dan pengkomersialan teknologi pembinaan.
Menurutnya, transformasi sektor berkenaan perlu mengambil kira pemeliharaan alam sekitar, kualiti bahan binaan serta reka bentuk bangunan yang mencerminkan identiti tempatan.
Anwar menegaskan pembangunan negara tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah projek atau bangunan yang berjaya disiapkan, sebaliknya sejauh mana hasil pembangunan itu meningkatkan kualiti hidup dan memenuhi keperluan rakyat.
