
KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Kerajaan MADANI memperuntukkan RM300 juta menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi menyokong pembangunan ekonomi serta sosioekonomi komuniti India.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, RM150 juta disediakan menerusi AIM dan TEKUN Nasional untuk membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan, manakala peruntukan MITRA turut ditingkatkan kepada RM150 juta.
Beliau berkata, komuniti India juga mendapat manfaat daripada bantuan membaik pulih sekolah Tamil, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi penerima yang layak.
Sementara itu, seramai 1,600 penerima di Parlimen Lembah Pantai menerima baucar bantuan Deepavali bagi meringankan beban kos sara hidup menjelang perayaan berkenaan.
Fahmi turut menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bantuan kerajaan supaya manfaatnya dapat disalurkan kepada golongan sasaran.
