
KUALA NERANG, 27 Oktober – Jenazah Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang maut ketika operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Kuala Sungai Padang, Perlis, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, malam tadi.
Pengebumian pada pukul 9.45 malam itu disempurnakan dengan istiadat penghormatan terakhir Maritim Malaysia. Kira-kira 500 orang, termasuk pegawai dan anggota agensi, ahli keluarga serta penduduk setempat, hadir memberikan penghormatan terakhir.
Allahyarham maut selepas bot yang dinaiki lima anggota dipercayai melanggar struktur konkrit ketika operasi menahan bot yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI). Insiden itu turut menyebabkan tiga anggota lain cedera.
Dalam operasi sama, sembilan warga Myanmar dan dua individu yang dipercayai tekong bot ditahan. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah, turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanannya kepada negara.
