PEMERGIANNYA DITANGISI, PENGORBANANNYA KEKAL DI HATI

KUALA NERANG, 27 Oktober – Tiada siapa mengharapkan pertemuan terakhir seperti ini. Namun, ketentuan Allah SWT telah membawa seorang lagi anggota Maritim Malaysia pergi buat selama-lamanya ketika sedang menggalas amanah dalam operasi penguatkuasaan demi keselamatan perairan negara.

Jenazah Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, yang terkorban ketika melaksanakan operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Sungai Padang, Perlis, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah pada kira-kira pukul 9.45 malam tadi.

Pengebumian Allahyarham disempurnakan dengan istiadat penghormatan terakhir oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai tanda penghargaan atas segala jasa, khidmat bakti dan pengorbanan beliau kepada negara.

Suasana pilu menyelubungi majlis pengebumian yang dihadiri kira-kira 500 orang, terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, penduduk setempat serta warga Maritim Malaysia yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah dan Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa.

Antara detik paling menyentuh hati ialah penyerahan Jalur Gemilang kepada bapa Allahyarham oleh Mohd Zawawi, sebagai simbol penghormatan negara terhadap jasa seorang anggota yang terkorban ketika menjalankan tugas.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak yang kini terpaksa meneruskan kehidupan tanpa insan tersayang di sisi.

Bagi keluarganya, Allahyarham ialah seorang suami, ayah dan anak yang amat dirindui. Bagi seluruh warga Maritim Malaysia pula, beliau merupakan seorang sahabat seperjuangan yang berkongsi seragam, amanah dan tanggungjawab dalam menjaga keselamatan perairan negara.

Pemergian Allahyarham bukan sekadar kehilangan seorang anggota dalam perkhidmatan, malah meninggalkan kesedihan yang turut dirasai oleh seluruh warga Maritim Malaysia, tanpa mengira pangkat, jawatan mahupun tempat bertugas.

Mungkin tidak semua daripada kami mengenali Allahyarham secara peribadi. Namun, kami memahami erti pengorbanan yang dipikul oleh setiap anggota setiap kali melangkah keluar menjalankan tugas demi negara. Di sebalik seragam yang sama, kami berkongsi amanah, keberanian dan risiko yang sentiasa mengiringi setiap penugasan.

Allahyarham telah menamatkan tugasnya di dunia, namun jasa dan pengorbanannya akan terus terpahat dalam ingatan serta menjadi sebahagian daripada kisah perjuangan warga Maritim Malaysia dalam mempertahankan keselamatan perairan negara.

Seluruh warga Maritim Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi ujian serta kehilangan yang amat berat ini.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampunkan segala dosanya dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta beramal soleh.

Al-Fatihah.

MaritimMalaysia

MalaysiaMaritime

AlFatihah

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *