Malaysia Kongsi Kepakaran Antirasuah Dengan Dunia Melalui Program MACA-MTCP

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Malaysia terus memperkukuh peranan di peringkat antarabangsa dalam usaha memerangi rasuah menerusi penganjuran Program Latihan Kepimpinan Eksekutif Mengenai Antirasuah 2026 oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dengan kerjasama Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP) di bawah Kementerian Luar Negeri.

Program yang berlangsung dari 17 hingga 27 Jun 2026 itu menghimpunkan pegawai antirasuah, badan penguat kuasa dan institusi tadbir urus dari 15 negara, termasuk Laos, Timor-Leste, Nepal, Jordan, Myanmar, Tanzania, Tajikistan, Azerbaijan, Ghana, Zimbabwe, Kemboja, Thailand, Singapura, Uzbekistan dan Maldives.

Sepanjang latihan selama 11 hari, peserta didedahkan kepada pelbagai aspek penting seperti siasatan kewangan, jenayah siber, mata wang kripto, risikan, forensik digital, pengubahan wang haram, pemulihan aset, liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam siasatan serta peranan media dalam memerangi rasuah.

Peserta turut mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat SPRM dan Kementerian Luar Negeri bagi memahami dengan lebih dekat kerangka antirasuah, tadbir urus dan mekanisme kerjasama antarabangsa yang diamalkan Malaysia.

Pengarah Kanan MACA, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, berkata program tersebut bukan sahaja menjadi platform pembelajaran, malah berjaya mewujudkan jaringan profesional serta kerjasama antara pegawai antirasuah dari seluruh dunia.

Program itu sekali lagi membuktikan komitmen Malaysia dalam menyumbang kepakaran, memperkukuh integriti global serta mempererat kerjasama antarabangsa bagi membanteras rasuah demi mewujudkan dunia yang lebih telus dan bebas rasuah.

Sumber: Bahagian Komunikasi Strategik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sorotan Berita: Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *