




Oleh Helmi Mohd Foud
(Sorotan PRN Sabah ke 17 bersama Yamani Hafez Musa – Calon PH di N.35 Sindumin)
20 November 2025
SINDUMIN –
Calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Sindumin, Yamani Hafez Musa mahu memastikan warga tempatan mendapat keutamaan pekerjaan dalam industri minyak dan gas (O&G) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Beliau mahu golongan muda Sindumin berani melangkah ke menara gading dan pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) supaya mampu bersaing dalam industri tersebut, perdagangan dan pelbagai peluang ekonomi yang sedang membangun.
“Masanya sudah tiba untuk anak-anak tempatan bukan lagi menjadi penonton, tetapi menjadi pemain utama dalam pengembangan besar di perairan kita sendiri. Namun, saya percaya pembangunan sahaja tidak mencukupi.
“Sebagai anak jati Sipitang, saya ingin membawa suara orang Sindumin ke tempat yang sepatutnya. Aspirasi kami bukan sekadar janji di atas kertas,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perdagangan dari University of Canterbury, New Zealand.
Yamani Hafez, 48, berkataa beliau bertekad mahu mewujudkan pentadbiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang benar-benar berkesan, terbuka dan dekat dengan rakyat.
“Tempat di mana orang ramai datang untuk mencari penyelesaian kepada masalah asas seperti kemudahan, pendidikan dan peluang ekonomi.
“Dengan kejujuran dan ketelusan, kita akan memastikan kewajipan rakyat menjadi keutamaan dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya yang berdepan persaingan 10 penjuru di kerusi N.35 itu.
MENGEKALKAN WARISAN BUDAYA DAN KEHIJUAN SEMULA JADI
Yamani Hafez turut menyatakan hasratnya untuk mengekalkan warisan budaya, kehijauan semula jadi dan keindahan masyarakat di kawasan yang diwakilinya itu bagi tujuan pembangunan ekonomi setempat.
Jelas beliau Sindumin kaya dengan tradisi, pertanian, kraf tangan dan mempunyai potensi pelancongan yang luar biasa.
“Dengan memperkukuh usahawan tempatan dan membina hubungan rapat dengan masyarakat melalui program kebudayaan, kita akan membina Sindumin yang maju, harmoni dan berjiwa.
“Ini tekad saya, Yamani Hafez, anak kepada jati Sipitang, yang mewakili Pakatan Harapan untuk membawa harapan baharu kepada Sindumin. Bersama-sama, kita akan membina masa depan yang adil, makmur dan berprinsip. Dari kita, untuk kita,” katanya penuh keyakinan.
Sehubungan itu beliau juga memohon sokongan dan kepercayaan daripada semua pihak khasnya pengundi untuk menggalas amanah dengan penuh integriti, dedikasi demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri Sabah.
