PMX terima rombongan guru dan alim ulama pondok, madrasah di Kelantan

Oleh: Sholina Osman
11 MAC 2025

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan rombongan tuan-tuan guru dan alim ulama dari pondok serta madrasah di Kelantan di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

“Saya berbesar hati menerima kunjungan rombongan ini kerana jemputan ini disampaikan sendiri oleh saya kepada mereka semasa menghadiri majlis iftar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya semalam,” katanya menerusi perkongsian di FB.

Beliau berkata, pertemuan ini membuka ruang yang bermakna untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu, khususnya berkaitan perkembangan Islam dan pembangunan ummah.

MEMPERKUKUH DASAR ISLAM

“Saya tekankan betapa pentingnya kita memperkukuh dasar Islam dalam pendidikan, serta beberapa ikhtiar Kerajaan dalam membina kekuatan dalaman umat Islam,” kata beliau.

Perdana Menteri juga amat menghargai pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh para tuan guru, terutama dalam soal pendidikan turath serta cadangan untuk memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia.

Dalam perbincangan ini, kata Anwar, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang, serta menghindari kebencian.

“Saya turut mendengar dengan sepenuh perhatian saranan agar usaha penjelasan mengenai inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh Islam dapat dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya.

TITIK PERSAMAAN ITU

“Kami sependapat bahawa dalam banyak perkara, titik persamaan itu lebih besar daripada perbezaan,” tambahnya.

Dalam ruang yang sama, Perdana Menteri turut menekankan tentang perkembangan komunikasi serta kerjasama yang semakin erat dengan Menteri Besar Kelantan.

Beliau berharap pertemuan sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia menjadi wahana yang sangat bernilai dalam merangka usaha bersama demi kemaslahatan umat dan negara.

“Buah fikiran dan nasihat para tuan guru amat saya hargai, dan saya percaya ia terpancar dari keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya,” ujar Perdana Menteri. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *