



Oleh: Sholina Osman
26 FEB. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba bersama delegasi di Hanoi, Republik Sosialis Vietnam petang ini (25 Februari).
Wisma Putra dalam kenyataan
media memaklumkan, Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja ke Hanoi, Republik Sosialis Vietnam, pada 25 dan 26 Februari 2025.
Perdana Menteri dijadual akan menyampaikan ucaptama pada ASEAN Future Forum (AFF) 2025 pada 26 Februari.
Forum ini merupakan platform perbincangan inklusif dan dialog dalam kalangan para Pemimpin ASEAN, pembuat dasar, pakar-pakar, badan pemikir, peneraju perniagaan serta pihak berkepentingan berkenaan hala tuju dan masa depan ASEAN ke arah komuniti yang lebih inklusif, mampan, dan berdaya saing.
NILAI-NILAI MADANI
Ucaptama Perdana Menteri akan menekankan komitmen Malaysia terhadap nilai-nilai MADANI dan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, serta mengetengahkan keutamaan dan keberhasilan Malaysia pada tahun ini, termasuk usaha-usaha dalam mempromosi pembangunan ekonomi inklusif dan mampan, transformasi digital, perubahan iklim dan tenaga boleh diperbaharui.
Dalam rangka lawatan ini juga, Perdana Menteri turut akan mengadakan kunjungan ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam,
To Lam, dan Presiden Republik Sosialis Vietnam, Luong Cuong
serta bertemu dengan Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Pham Minh Chinh.
Pertemuan-pertemuan ini memberi peluang untuk kedua-dua negara merangka hala tuju yang jelas dalam memperkukuh kerjasama dua hala di bawah rangka Perkongsian Strategik Menyeluruh (Comprehensive Strategic Partnership), dengan tumpuan strategik kepada perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, ekonomi maritim, sains dan teknologi, tenaga, pelancongan serta kerjasama dalam menyelesaikan isu penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (illegal, unreported and unregulated fishing – IUU).
ISU-ISU SERANTAU
Para pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau.
Lawatan ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan Negara-negara Anggota ASEAN selaras dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” di bawah Kepengerusian Malaysia.
Selain itu juga dapat memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dengan Vietnam, di samping memperluas kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa. – JM
