








Oleh: Sholina Osman
25 FEB. 2025
Malaysia berhasrat untuk menyegerakan usaha pembangunan semula Gaza terutama menerusi wakaf.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata,
beliau telah meminta Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti tempatan untuk menjalin hubungan dengan Universiti Al-Quds di Baitulmuqaddis demi kelangsungan ilmu dan pembangunan umat Palestin.
“Menyentuh tragedi genosid sewaktu Palestin dibantai dalam keadaan umat Islam yang lesu, saya menyeru hadirin agar meniupkan roh perjuangan dan mengangkat martabat umat dalam pelbagai bidang serta meninggalkan masalah remeh-temeh yang memecahbelah umat,” katanya menerusi perkongsian di FB.
Perdana Menteri sebelum itu meraikan tetamu istimewa, Sheikh Dr Ekrima Saβid Sabri, Imam dan khatib Masjidil Aqsa.
SEMPAT MAKAN MALAM
“Kami sempat makan malam bersama di Seri Perdana sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah dan menyertai Majlis Ilmu MADANI di Masjid Putra, Putrajaya,” katanya.
Perdana Menteri juga turut mengulangi teguran yang disampaikannya tatkala berucap di hadapan para ulama dan sarjana Islam sewaktu Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) di Bahrain tempoh hari.
Jelas beliau, ia terkait permasalahan umat Islam yang masih direnggut perpecahan akibat perbalahan isu-isu remeh, hingga kita mengabaikan usaha membangun dan memperkukuh perpaduan umat.
Dalam persaingan dunia yang sengit dan mencabar katanya, umat Islam harus merangkul usaha untuk membina kekuatan ekonomi, menguasai kecerdasan buatan (AI) dan digital.
DENGAN NILAI KEMANUSIAAN
Beliau berkata, selain itu turut menyeimbangkan kemajuan teknologi dengan nilai kemanusiaan, akhlak dan ihsan, seperti ditekankan dalam gagasan MADANI.
Sheikh Dr Ekrima sewaktu menyampaikan tausiah bertajuk βKedudukan al-Quds dan al-Aqsa disisi Islamβ, mengupas sejarah agung kota Al-Quds yang menyaksikan kebesaran Allah SWT melalui peristiwa Israk dan Mikraj.
Ketokohan Umar Al-Khattab sebagai seorang khalifah yang adil dan diberi penghormatan membuka kota Baitulmuqaddis, turut disentuh dan dikongsikan bersama hadirin.
Ketika itu, kota Al-Quds menjadi saksi tatkala Bilal ibn Rabah kembali mengalunkan azan selepas lima tahun kewafatan Rasulullah SAW, yang meruntun jiwa para sahabat yang merindui Baginda.
Di akhir majlis, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada Syeikh Dr Ikrimah sebagai salah seorang tokoh yang menjadi benteng pertahanan umat dalam memperjuangkan kedudukan Masjid al-Aqsa. – JM
