






Oleh: Sholina Osman
8 FEB. 2025
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai acara berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer di tengah-tengah ibu kota Kuala Lumpur.
Beliau mengambil kesempatan untuk beriadah bersama lebih 10,000 rakyat berbilang kaum yang bersama-sama memeriahkan acara jalan kaki kebudayaan “Malaysia Sarong Music Run 2025”.
“Gembira melihat ribuan anak muda yang berbangga memakai kain sarung, termasuk ada yang berbusana tradisional untuk bersama-sama mempromosi dan menjulang warisan seni budaya Malaysia,” katanya menerusi perkongsian di FB.
TERAS PEMBANGUNAN NEGARA
Perdana Menteri berkata, ini selaras dengan gagasan MADANI yang menjadi teras pembangunan negara di bawah Kerajaan hari ini, yang menghargai dan memberi pertimbangan khusus terhadap kekayaan khazanah warisan negara.
Perdana Menteri memberikan
penghargaan tertinggi buat penganjuran acara hebat ini yang memberi ruang unik untuk memperagakan warisan budaya kita, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2025.
“Semoga acara seumpama ini dipercambahkan dan menjadi wadah untuk kita memperkukuh semangat persahabatan serta memupuk kecintaan antara rakyat berbilang kaum dan budaya,” ujarnya. – JM
