SUARA MERENTASI DUNIA
Sun. Nov 15th, 2026

PMX KETUAI DELEGASI MALAYSIA KE SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-49 DI MANILA

KUALA LUMPUR, 14 NOVEMBER 2026 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berlepas ke Manila, Filipina hari ini bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung dari 15 hingga 17 November ini.

Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony berkata penyertaan Anwar pada peringkat tertinggi itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif dalam mencorak hala tuju ASEAN, merangkumi aspek politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.

Menurut beliau, sidang kemuncak berkenaan menjadi platform strategik untuk pemimpin negara anggota ASEAN dan rakan dialog membincangkan cabaran bersama serta memperkukuh hubungan dua hala.

Anwar akan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

JADUAL PENYERTAAN PMX

Pada 15 November, Anwar dijadual menghadiri sesi pleno dan sesi permukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, selain sesi libat urus pemimpin ASEAN bersama Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan wakil belia ASEAN.

Pada 16 November pula, beliau dijadual menghadiri sidang kemuncak ASEAN bersama China, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Australia dan Korea Selatan sebelum berlepas pulang ke Malaysia pada sebelah petang.

LAWATAN PRESIDEN PERANCIS

Kepulangan itu bagi membolehkan Perdana Menteri menerima lawatan rasmi Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada pagi 17 November.

Bagaimanapun, Anwar dijadual kembali ke Manila pada petang hari sama bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat serta majlis makan malam yang dihoskan Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr.

Dalam tempoh ketiadaan Perdana Menteri pada 17 November, Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke beberapa mesyuarat dan sidang kemuncak, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-29, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) ke-4, Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-29, ASEAN-India ke-23 serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-21.

Anwar turut dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan pemimpin negara anggota ASEAN di luar sesi rasmi sidang kemuncak berkenaan.

10 SIDANG KEMUNCAK, TIGA SESI LIBAT URUS

Abdul Malik berkata secara keseluruhan, program berkenaan merangkumi 10 sidang kemuncak, tiga sesi libat urus dan satu mesyuarat pemimpin.

Rangkaian sidang kemuncak itu didahului beberapa mesyuarat peringkat menteri pada 14 November, termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-32 dan Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN ke-39 serta konsultasi berkaitan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar.

Sidang kemuncak kali ini berlangsung ketika rantau Asia Tenggara berdepan pelbagai cabaran, termasuk ketidaktentuan ekonomi dan tenaga global, perkembangan keselamatan serantau, isu Laut China Selatan serta krisis Myanmar.

Isu keselamatan tenaga, konflik serantau dan usaha memperkukuh kerjasama ASEAN turut menjadi antara perkara yang mendapat perhatian menjelang pertemuan pemimpin rantau ini.

Filipina selaku Pengerusi ASEAN 2026 mengangkat tema β€œNavigating Our Future, Together”, dengan penekanan terhadap usaha memperkukuh keamanan dan keselamatan, kemakmuran ekonomi serta pemerkasaan rakyat.

Abdul Malik menegaskan penyertaan Malaysia penting bagi memastikan kepentingan negara terus dipelihara, selain memperkukuh sumbangan Malaysia dalam menentukan hala tuju dan masa depan ASEAN.

kapsyen foto:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan di Manila, Filipina bermula 15 hingga 17 November 2026.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *