
Penyalahgunaan akaun media sosial untuk penyamaran identiti, penipuan dan penyebaran kandungan berbahaya menuntut pendekatan keselamatan yang lebih menyeluruh.
Sejak 1 Januari 2025, kerangka pelesenan baharu bagi penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang memenuhi kriteria ditetapkan telah berkuat kuasa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 memperkukuh kerangka keselamatan dalam talian dengan menetapkan tanggungjawab tertentu kepada penyedia perkhidmatan yang tertakluk kepada akta berkenaan.
PLATFORM PERLU URUS RISIKO KESELAMATAN
Dalam menangani penyalahgunaan akaun, antara langkah keselamatan yang boleh diperkukuh oleh platform digital termasuk:
1.Mengesan akaun palsu dan penyamaran identiti yang berpotensi memudaratkan pengguna.
2.Menyediakan saluran pelaporan yang mudah diakses bagi membolehkan pengguna melaporkan akaun atau aktiviti mencurigakan.
3.Mengambil tindakan sewajarnya terhadap akaun atau kandungan yang melanggar undang-undang dan dasar platform.
4.Memanfaatkan teknologi pengesanan bagi mengenal pasti aktiviti mencurigakan dan potensi penyalahgunaan akaun.
5.Memperkukuh langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan akaun secara berulang.
6.Meningkatkan ketelusan pengendalian aduan serta tindakan keselamatan yang dilaksanakan.
Langkah-langkah ini dapat menyokong usaha memperkukuh keselamatan platform, namun tidak semestinya kesemuanya merupakan kewajipan khusus yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Sebarang tindakan terhadap akaun atau kandungan perlu dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang terpakai, prosedur berkaitan serta tanggungjawab penyedia perkhidmatan.
KESELAMATAN DIGITAL TANGGUNGJAWAB BERSAMA
Perlindungan pengguna tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
Platform perlu mengurus risiko keselamatan, pengguna perlu berwaspada, manakala MCMC dan agensi penguatkuasaan berkaitan memainkan peranan mengikut bidang kuasa masing-masing.
Kerjasama ini penting bagi memastikan tindakan terhadap penyalahgunaan media sosial dapat dilaksanakan secara berkesan, tanpa mengabaikan hak dan kepentingan pengguna yang sah.
ONSA merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan dalam talian, namun keberkesanan perlindungan turut bergantung kepada tanggungjawab platform dan kesedaran pengguna.
AKAUN BOLEH DIPALSUKAN, JANGAN MUDAH TERPEDAYA
Ancaman akaun palsu semakin membimbangkan apabila teknologi disalahgunakan untuk menyamar sebagai individu atau organisasi, mencuri maklumat peribadi dan memperdaya pengguna melalui pelbagai taktik penipuan dalam talian.
Dalam persekitaran digital yang semakin kompleks, gambar profil, jumlah pengikut atau penampilan akaun yang meyakinkan bukan lagi jaminan bahawa sesuatu akaun itu tulen dan boleh dipercayai.
Oleh itu, pengguna perlu mengamalkan prinsip semak dahulu sebelum percaya, terutama apabila menerima mesej yang meminta wang, maklumat sulit atau mendesak supaya tindakan segera diambil.
Pada masa sama, usaha membendung ancaman ini memerlukan kerjasama semua pihak. Kerangka perundangan seperti Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), penguatkuasaan undang-undang dan langkah keselamatan oleh penyedia platform perlu disokong dengan pendidikan serta kesedaran masyarakat.
Akaun boleh dipalsukan. Identiti boleh disamar. Gambar boleh disalin. Namun, kewaspadaan dan tindakan membuat pengesahan mampu mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.
SEMAK DAHULU, BARU PERCAYA.

