ANWAR TURUN DI KRUBONG JAYA, SIFATKAN AZMAN ABIDIN MAMPU BAWA SUARA PENDUDUK PAYA RUMPUT

12 NOVEMBER 2026 –
(Sorotan Khas PRN Melaka ke 16 )

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan terhadap kemampuan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.13 Paya Rumput, Datuk Azman Abidin untuk membawa suara penduduk serta membantu menyelesaikan isu yang dihadapi masyarakat setempat.

Keyakinan itu disuarakan ketika Anwar mengadakan kunjungan ke Taman Krubong Jaya selepas selesai urusan di Parlimen, hari ini, bagi bertemu komuniti penjaja dan penduduk bersama Azman.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar berkata beliau mengenali Azman secara dekat dan mengetahui keupayaan serta kesungguhan calon berkenaan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memberikan khidmat kepada masyarakat.

Menurutnya, pengalaman serta kegigihan Azman diyakini mampu dimanfaatkan untuk membawa isu penduduk ke perhatian pihak berkaitan, termasuk memperjuangkan keperluan pembangunan kawasan Paya Rumput.

“Saya mengenali saudara Azman secara dekat dan tahu keupayaan serta kegigihannya dalam berkhidmat. Insya-Allah, saudara Azman mampu membawa suara penduduk dan menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan penduduk,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada program turun padang Anwar di Melaka bagi menyokong calon-calon PH menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 November ini.

Anwar memulakan program kempen di Melaka dengan mengunjungi deretan kedai dan gerai penjaja di Taman Krubong Jaya sekitar jam 6 petang.

Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga dan penduduk sebelum meneruskan program di beberapa lokasi lain.

Azman pula mengetengahkan pendekatan turun padang bagi mengenal pasti keperluan penduduk, termasuk isu kebajikan, kemudahan awam dan pembangunan ekonomi setempat.

Sebelum ini, beliau turut menyatakan hasrat memanfaatkan pengalaman dalam pentadbiran di Putrajaya untuk membantu membawa pembangunan serta memperluas peluang ekonomi kepada masyarakat Paya Rumput sekiranya diberikan mandat.

Antara empat aspirasi yang diketengahkan Azman ialah penambahbaikan jalan raya dan keselamatan kawasan, pemerkasaan usahawan tempatan, peningkatan keselesaan kediaman serta peluasan peluang pendidikan dan kemahiran untuk golongan muda.

Anwar dalam perkongsiannya turut menyeru penduduk supaya memberikan kepercayaan kepada HARAPAN bagi membawa pembaharuan yang dapat dirasai oleh masyarakat di negeri Melaka.

Hari pengundian PRN Melaka ke-16 ditetapkan pada Sabtu, 14 November 2026, melibatkan 28 kerusi DUN.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *